Isnin, 14 November 2016

Bekas hakim hairan MLA Swiss boleh jejas siasatan skandal 1MDB

Seorang bekas Hakim Mahkamah Rayuan hairan dengan keputusan Malaysia untuk menolak permohonan perjanjian bantuan guaman bersama (MLA) daripada Pejabat Peguam Negara Switzerland dalam siasatan ke atas 1MDB.
Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, yang berkhidmat dengan Mahkamah Rayuan sepanjang tempoh 2009-2015, mengakui beliau tidak berkongsi maklumat sulit yang mungkin dimiliki Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkaitan dengan siasatan 1MDB di negara ini.
Namun, Mohd Hishamudin mendapati sukar untuk memahami bagaimana bantuan kepada pihak berkuasa Swiss boleh "menjejaskan" siasatan jenayah yang dijalankan oleh pihak berkuasa negara ini seperti yang didakwa oleh Apandi.
"Apa yang 'prejudis' bagi siasatan pihak berkuasa?
"Sebaliknya, Malaysia harus bersemangat memberi apa jua bantuan kepada pihak berkuasa Swiss, terutama sekali apabila pihak berkuasa Swiss berkata penyelewengan dana 1MDB mungkin melangkaui AS$4.8 bilion yang diumumkan (oleh pihak berkuasa Swiss) awal tahun ini.
"Sudah pasti pemberian bantuan oleh Malaysia, seperti yang diminta oleh pihak berkuasa Swiss, akan dilakukan dengan penuh rahsia.
"Kita juga seharusnya menyambut tawaran pihak berkuasa Swiss untuk berkongsi hasil siasatan ke atas 1MDB dengan pihak berkuasa Malaysia," kata Mohd Hishamudin kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA