Isnin, 7 November 2016

Bekas duta persoal kemampuan Malaysia tangani ‘gergasi’ seperti China

Perubahan dasar luar Najib yang condong ke arah China tidak melalui proses perbincangan yang mendalam seperti mana pentadbiran sebelumnya, kata seorang diplomat veteran.
malaysia-china
PETALING JAYA: Seorang diplomat veteran Malaysia berkata perubahan dasar luar Putrajaya yang dilihat secara tiba-tiba berpaksikan China hanya mengiyakan andaian ia sebenarnya lahir daripada krisis hutang 1MDB.
Dennis Ignatius, yang pernah berkhidmat sebagai duta Malaysia ke Kanada, berkata walaupun tidak sesiapa pun dapat menafikan kepentingan menjalinkan hubungan akrab dengan Beijing, persoalannya adalah sama ada Malaysia bersedia menguruskan kesan besar daripada penglibatan kuasa ekonomi besar seperti itu.
“Apakah sistem politik kita yang berpecah belah, korup dan tidak berfungsi bersedia cabaran mengurus gergasi yang kini kita teruja mempelawa masuk?” soal Dennis, yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun berkhidmat di beberapa negara termasuk China, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Dennis membuat komen itu dalam penulisannya diterbitkan FMT hari ini, beberapa hari selepas lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyaksikan kontrak berbilion dolar kepada China.
Ia sekaligus mencetuskan tanda tanya mengenai penglibatan besar-besaran China dalam ekonomi negara, di samping perubahan dasar Najib yang selama ini lebih condong ke arah Washington di bawah pentadbiran Barack Obama.
Najib bagaimanapun menolak dakwaan tersebut, menyifatkannya tidak masuk akal.
Dennis mengakui dasar berbaik-baik dengan China memang bukan sesuatu yang baharu, bagaimanapun ia diputuskan selepas siri perbincangan yang mendalam, termasuk di bawah pentadbiran Tun Abdul Razak, yang memulakan hubungan diplomatik dengan Beijing, dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Lawatan bersejarah Tun Razak ke China pada 1974, misalnya, yang memulakan hubungan diplomatik, diadakan selepas debat dan perbincangan dalaman yang memakan masa berbulan-bulan.
“Begitu juga lawatan Dr Mahathir ke China pada 1985 dan pelancaran penuh hubungan politik, komersil dan antara masyarakat kedua-dua negara dilakukan setelah pelbagai perbincangan dalaman,” kata Dennis.
Sebaliknya, kata Dennis, langkah Malaysia yang secara mengejut condong ke arah China memperlihatkan ia keputusan Najib sendiri, dan menunjukkan ia lebih dipandu oleh keperluan menyelesaikan kes 1MDB lebih daripada kepentingan negara.

“Skandal 1MDB yang mendominasi politik Malaysia sejak setahun, menyebabkan Najib dalam keadaan terdedah,” katanya merujuk permohonan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menyita aset berkait 1MDB.
“Beliau kini mengharapkan Najib memadam hutang 1MDB, membawa masuk pelaburan dan pinjaman baharu bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi, menarik sokongan pengundi Cina terhadap gabungan politiknya (Barisan Nasional) dan memperhalusi muslihatnya dalam mendepani persengketaan dengan China di Laut China Selatan,” kata Dennis.
Katanya, sekiranya Najib berjaya mencapai hasrat ini, beliau sudah tentu mengekalkan kuasanya.
“Tidak syak, ia suatu usaha berani tetapi bukan tanpa kelemahan buat Malaysia.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA