Khamis, 3 November 2016

Barisan PPBM: Selamat datang Umno ‘Team B’?

Barisan kepimpinan diumumkan semalam dipenuhi bekas pemimpin Umno, dan tidak membantu meningkatkan kewibawaan PPBM dalam mendukung aspirasi pembangkang.
PPBM-UMNO
KUALA LUMPUR: Barangkali apa yang sedikit mengejutkan pada pengumuman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semalam adalah beberapa nama yang dilantik dalam barisan kepimpinannya.
Paling menonjol adalah Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebagai naib presiden.
Bukan sangat kerana dia tidak pernah muncul atau namanya tidak timbul dalam apa saja hal berkaitan PPBM, tetapi kedudukannya sebelum ini sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).
Lapan tahun (2000-2008) mengemudi badan pilihan raya itu, Rashid menjadi sasaran serangan pembangkang berhubung isu pilihan raya tidak adil, dan dia tidak pula menunjukkan kesungguhan untuk membuktikan sebaliknya – tidak seperti 3 bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.
Kedua adalah Zahid Mat Arip, yang dilantik menjadi ahli majlis pimpinan tertinggi. Bekas “murshidul am” sebuah kumpulan bernama Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai) itu merupakan salah seorang watak yang digunakan untuk menyerang pembangkang – dan merupakan abang kepada nama-nama seperti Datuk Seri Jamal Yunus, Ali Tinju dan sebagainya.
Nama lain seperti bekas naib ketua Umno Pagoh, Datuk Shahruddin Md Salleh; bekas exco Pemuda Umno Mohd Rafiq Naizamohideen dan bekas ketua Pemuda Umno Bendang Baru, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi.
Hari ini mereka menjadi pemimpin parti pembangkang, yang akan berkata-kata mengikut nada pembangkang di Malaysia. Reformasi institusi, tadbir urus yang baik serta hak asasi (sekadar menyebut beberapa “catchphrase”) akan menjadi ratib mereka.

Masih belum hilang janggalnya kata-kata ini disebut Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan sekarang ini pula.
Dengan barisan kepimpinan yang dipenuhi bekas pemimpin Umno, ia tidak membantu meningkatkan kewibawaan PPBM dalam mendukung aspirasi pembangkang. Janganlah sehingga dianggap “Team B” Umno atau “Umno Baru baru” pula.
Kebanjiran mereka berisiko menenggelami nama seperti Datuk A. Kadir Jasin – yang konsisten mengkritik salah laku kerajaan, dan Tariq Ismail yang mengingatkan kita kepada Umno era 1970-an yang progresif.
Bagaimana pula soal kerjasama dengan pembangkang lain, terutama Pakatan Harapan?
Tidak sedikit puak dalam PKR yang masih belum berdamai dengan hakikat parti mereka berbaik dengan Dr Mahathir dan barisan kepimpinan ini tidak akan membantu keadaan.
Dengan peluang untuk menewaskan BN pada pilihan raya umum ke-14 yang semakin menipis, “Putrajaya” mungkin tidak cukup kuat untuk menjadi sebab kerjasama – dalam erti kata yang sebenar.
Pada satu sisi lain, persekitaran semasa menunjukkan pemimpin Pakatan tidak akan ada masalah – sekurang-kurangnya di hadapan orang – untuk bersama-sama mereka. Sekian lama parti pembangkang menjadi “tempat mencuci dosa” kepada figura daripada pihak “establishment”.
Apakah barisan kepimpinan PPBM baru ini penting buat rakyat Malaysia? Hari ini, masyarakat yang masih ambil pusing dengan politik kepartian terbahagi kepada 2 sahaja; penyokong pembangkang dan penyokong pemerintah.
Penyokong pembangkang akan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada barisan kepimpinan PPBM, dan penyokong pemerintah akan tidak bersetuju dengan segala perkara. Tidak lebih daripada itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA