Jumaat, 4 November 2016

Barat sudah berlalu, masa depan kini pada Asia, kata penganalisis

Tan Sri Ramon Navaratnam berkata masa depan kini pada Asia, bukan lagi Eropah atau Amerika Syarikat dan United Kingdom.
ramon
KUALA LUMPUR: Tan Sri Ramon Navaratnam menepis kebimbangan sesetengah pihak terhadap hubungan Malaysia dan China yang semakin rancak, sebaliknya menyifatkan kerjasama itu baik untuk negara.
Penganalisis ekonomi itu berkata beliau berpendapat hubungan Malaysia-China membawa kebaikan kerana negara mendapat lebih banyak pelaburan.
“Ada sesetengah yang takut dengan dominasi China, tetapi saya merasakan hubungan itu bagus. Negara mendapat lebih banyak pelaburan, hubungan dengan China semakin rapat dan kita dapat mempelajari soal teknologi dan kewangan mereka.
“Pada masa lalu kita memandang Amerika Syarikat, United Kingdom. Tetapi masa depan kini pada Asia, bukan lagi Eropah,” katanya ketika dihubungi FMT.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas hubungan ekonomi antara kedua-dua negara itu yang kian meningkat.
Baru-baru ini, lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut disertai sejumlah menteri Kabinet dan menteri besar.
Menurut laporan, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009, dengan jumlah dagangan 2 hala pada 2015 setinggi RM419 bilion (AS$100 bilion).
Namun, pelbagai pihak risau dengan hubungan itu dan antaranya berkaitan projek Bandar Malaysia oleh syarikat kontroversi milik kerajaan 1MDB dianggap sebagai “penjualan negara kepada China” ekoran dikuasai pelabur dari negara itu.
China turut diberikan hak membina projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion yang diumumkan dalam Bajet 2017 baru-baru ini dan kemungkinan besar akan mendapat projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (RM60 bilion) selain landasan kembar elektrik Gemas-Johor Bahru (RM7.13 bilion).
Navaratnam berkata apa yang penting ialah kemampuan kerajaan untuk bertegas dalam rundingan agar pelaburan itu tidak menguntungkan China semata-mata.
“Kita perlu memastikan pelaburan turut dikongsi dan manfaat niaga sampai kepada pihak di Malaysia.
“Satu lagi masalah kemungkinan kita membayar harga lebih mahal (untuk projek),” katanya yang berkata kerajaan perlu melaksanakan sistem tender terbuka dan menggunakan kaedah “cost-plus” dalam menentukan nilai sesuatu projek.
“Lihat berapa kos yang diperlukan, minta China tunjukkan semua dokumen berkaitan, dan bandingkannya dengan negara lain,” katanya.
Dasar pandang ke China vs Dasar Pandang ke Timur

Ketika ditanya perbezaan dasar Najib dengan Dasar Pandang ke Timur oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Ramon berkata: “Kini Malaysia boleh belajar daripada China, sebuah negara terkebelakang yang bangkit menjadi ekonomi kedua terbesar dunia.”
“Falsafahnya adalah untuk mempelbagaikan (hubungan) – dengan negara jiran dan serantau. ‘Pusat graviti’ kini dengan pantas berpindah ke Asia Timur, dan jika mereka berdagang secara wajar dan adil, tidak salah untuk menerimanya,” katanya.
Dalam konteks lebih besar, China dilihat sedang meluaskan hegemoninya di rantau Asia Tenggara melalui projek pembangunan, di tengah-tengah persaingan pengaruh dengan Amerika Syarikat dan pertikaian seputar Laut China Selatan.
Negara itu merupakan rakan dagang Asean terbesar dengan nilai pelaburan RM1,979 bilion (AS$472 bilion) pada tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA