Selasa, 8 November 2016

Bajet 2017 Najib diluluskan peringkat dasar, PAS berkecuali

Rang Undang-Undang Perbekalan atau Bajet 2017 diluluskan di peringkat dasar di Dewan Rakyat, malam ini.
Seramai 117 ahli parlimen menyokong manakala 70 lagi menentang dan 11 lagi tidak mengundi apabila undian belah bahagian diadakan.
"Keputusan belah bahagian adalah seperti berikut, yang tidak mengundi 11 orang, yang tidak bersetuju untuk Rang Undang-undang dibacakan kali kedua, 70 orang, yang bersetuju untuk Rang Undang-Undang dibacakan kali kedua, 117 orang," kata Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Semua sebelas ahli parlimen yang berkecuali itu adalah dari PAS.
Parti itu mempunyai 14 ahli parlimen. Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mengundi menentang belanjawan itu manakala presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) dan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) tidak hadir.
Ditanya mengapa mereka berkecuali, Nasrudin Hassan (PAS-Temerloh) berkata mereka mengambil pendirian tersebut kerana mereka bersetuju dengan perkara tertentu tetapi menentang elemen lain.
Bagaimanapun beliau berkata, mereka akan membincangkan apa tindakan yang perlu diambil apabila Bajet 2017 dibawa kepada pengundian peringkat jawatankuasa.
“PAS ambil sikap yang tersendiri. Ada perkara yang kami bantah dan kami sudah bantah dalam ucapan (perbahasan).
“Kita tak sokong termasuk isu GST (cukai barangan dan perkhidmatan). 1MDB sama juga.
“(Tapi) kita tidak mahu maksudnya menolak keseluruhan ada juga dalam bajet tu baik dan perlu sampai kepada rakyat seperti bahagian emolumen sebagai contohnya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA