Rabu, 2 November 2016

Bagaimana Speaker tahu ucapan mantan menteri itu rahsia Kabinet?

Tidak timbul soal tiga mantan menteri Kabinet mededahkan sebarang rahsia kerajaan seperti yang didakwa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam sidang medianya di Parlimen minggu lepas.
“Dalam perkara itu, saya amat bersetuju dengan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal yang hairan bagaimana Pandikar tahu tentang ucapan oleh tiga mantan Menteri Kabinet itu telah melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Mustahil untuk Speaker mengetahui jika apa yang dikatakan mereka dalam sesi Kabinet telah diulang sebut oleh mereka di Parlimen, kerana Speaker tidak mengambil bahagian dengan perbincangan Kabinet mengenai 1MDB,” ujar Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.
Oleh itu, kata Kit Siang, tindakan polis memanggil mereka untuk disoal siasat berhubung kritikan terhadap skandal 1MDB di Dewan Rakyat harus ditentang kerana anggota Parlimen mempunyai kekebalan untuk bercakap apa sahaja di Parlimen tanpa melanggar Akta Hasutan.
Malah, setelah pembacaan semula ucapan tiga mantan pemimpin dan pemimpin Barisan Nasional (BN) melalui hansard Parlimen, beliau mendapati tidak ada perkara baru yang disebut oleh trio berkenaan dan mereka hanya mengulang apa yang telah diketahui dunia mengenai 1MDB.
Justeru, beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Gelang Patah menyeru agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir ke Dewan Rakyat pada Isnin depan bagi memastikan bahawa kerajaan pimpinannya menegakkan hak keistimewaan anggota Parlimen.

Khamis lepas, Pandikar dalam satu sidang media di Parlimen mendakwa ucapan Shafie yang juga mantan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah; mantan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Husni Hanadzlah dan mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melanggar sumpah kerahsiaan.
Intipati ucapan yang mengkritik syarikat milik penuh negara itu, menurut Pandikar, mendedahkan mereka kepada risiko berhadapan tindakan undang-undang mengikut Akta Hasutan atau Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Husni yang sepatutnya memberikan keterangan kepada polis pada jam 2.00 petang Isnin lalu bagaimanapun ditangguhkan untuk berbuat demikian pada minggu hadapan. Manakala, Muhyiddin, semalam, telah mengesahkan bahawa polis telah memanggilnya untuk disoal siasat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA