Rabu, 9 November 2016

Bagaimana projek internet 1Bestari boleh gagal?

Internet kini sudah berada di Malaysia lebih 20 tahun, dan sebahagian hidup rakyat. Maka amat hairan projek yang bertujuan menyediakan internet boleh gagal.
1BestariNet
Pada 1912, Titanic, kapal paling besar dan paling canggih pernah dibina pada zaman itu, karam dilanggar blok ais.
Segala perancangan dalam projek sebesar and secanggih Titanic sudah pun dilakukan. Pembina kapal tahu yang Titanic akan berlayar menyeberangi lautan Atlantik yang mempunyai blok ais yang kadang-kala sebesar rumah, tetapi mereka tidak menjangkakan yang bahagian tepi Titanic boleh terkoyak sehingga membolehkan air laut masuk dan menenggelamkan kapal itu.
Begitulah dinamika antara perancangan and kejadian.
Di negeri saya Pulau Pinang, fenomena ini diungkapkan sebagai, “apa nak buat, nak jadi”.
Tapi itu Titanic, bagaimana pula dengan 1BestariNet?
1BestariNet adaah inisiatif kerajaan membantu guru memberi kemudahan internet kepada pelajar, dan memakan kos RM4 bilion.
Menurut presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kamarozaman Abr Razak, hanya sebahagian daripada “pelanggan” (iaitu pelajar) boleh menggunakan kemudahan internet, malahan para guru sendiri terpaksa mengeluarkan wang mereka sendiri mendapatkan kemudahan itu.
Projek ini dimulakan beberapa tahun dulu semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawat menteri pendidikan, dan syarikat terlibat ialah YTL Communications Sdn Bhd.
Menurut Kamarozaman, kadang kala bila 1BestariNet ada pun, guru tidak boleh melayari internet!
Bagaimana ia gagal?
Bagaimanakah projek sebesar kapal Titanic sebegini boleh gagal? Mari kita fikirkan.
Proses pemasangan internet di zaman ini bukanlah perkara yang memerlukan mukjizat. Ia sesuatu yang rutin.
Apabila pindah rumah, kita hubungi Telekom Malaysia dan menetapkan tarikh untuk pemasangan internet. Kemudian, jurutera Telekom memasang modem dan router dan pada hari itu juga, kita dapat melayari laman web dan menikmati internet. Mudah sahaja.
Internet kini sudah berada di Malaysia lebih 20 tahun, dan sebahagian hidup rakyat.
Oleh itu, adalah terlalu hairan projek yang bertujuan menyediakan internet boleh gagal. Projek ini hanyalah gandaan kerja mudah di atas, iaitu menyediakan internet. Bukan untuk rumah tetapi untuk sekolah. Tiada perbezaan sangat kecuali dari segi skala.
Soalan menjawab kehairanan
Saya hairan projek ini boleh gagal capai matlamatnya. Kita perlu bertanya soalan yang relevan untuk mengetahui sebab kegagalan projek ini.
Pertama, apakah rekod syarikat YTL Communications?
Adakah ia mempunyai prestasi yang baik dalam projek sebegini?
Jika tidak, mengapa YTL diberi tender melaksanakan projek ini?
Jika benar ia melaksanakan projek sebegini sebelum 1BestariNet, tiada sebab untuk gagal kerana prosesnya sama saja.
Jika gagal, samalah seperti jika kita mengatakan yang kita boleh memasang internet untuk rumah A dan B tetapi tidak untuk rumah C. Kalau semua faktor adalah sama, kenapa rumah C tidak berjaya menikmati kemudan internet?
Kedua, kita wajar tanya siapa agensi kerajaan yang berurusan dengan YTL? Adakah pegawai dalam agensi tersebut berpengalaman menjayakan projek sebesar ini?
Jika ya, mereka patut tahu penanda aras (benchmarks) yang perlu ada sebelum projek ini dimulakan. Adakah YTL mencapai penanda aras ini? Sudahkah mereka membuktikan kebolehan mereka dalam projek sebegini?
Nepotisme?
Mungkin soalan yang paling relevan, jika kita memikirkan budaya nepotisme di Malaysia ialah, adakah pegawai berkenaan mempunyai perhubungan secara peribadi dengan pegawai YTL Communications?

Nepotisme bukanlah satu penyakit yang melanda Malaysia sahaja, bahkan negara yang mempunyai demokrasi yang matang seperti United Kingdom pun mempunyai masalah ini.
Jika ada pegawai syarikat yang mempunyai hubungan peribadi dengan pegawai agensi kerajaan yang berkenaan, mereka perlu diselidik kerana melanggar etika dan tatacara. Mengapa pula kementerian pendidikan tidak mengetahui perkara ini?
Menurut Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), antara kontroversi dalam pengurusan kerajaan berkenaan 1BestariNet ialah pemasangan 1BestariNet Receiver Integrated System (1BRIS) yang berfungsi untuk menerima dan menghantar isyarat di sekolah yang tidak mempunyai struktur rangkaian kawasan tempatan (LAN).
Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) mengesyorkan kepada kerajaan untuk mengenakan sewa bulanan RM1,200 kepada YTL bagi setiap tapak 1BRIS.
Yang hairannya, kementerian pendidikan mengambil keputusan untuk mengenakan sewa tahunan RM1,000 kepada YTL bagi setiap tapak 1BRIS. Ini adalah hanya satu daripada 14 pengesyoran JPPH.
Menurut PAC, kerajaan rugi puluhan juta ringgit hanya dalam transaksi ini.
Mengapakah kementerian pendidikan mengambil keputusan ini? Apakah untuk memberi kelonggaran kepada YTL Communication supaya menjadi lebih cekap dari segi kewangan?
Apa pun sebab mereka, nampaknya logik mereka gagal.
Satu daripada perkara yang saya telah pelajari daripada pengalaman pengurusan projek ialah konsep “modularity” iaitu melaksanakan projek dengan memecahkannya kepada bahagian “self-contained” (iaitu dapat berfungsi sebagai entiti sendiri).
Dalam pengaturcaraan ini, konsep “object orientation” adalah berkenaan dengan “modularity”.
Pengurusan IT adalah bidang di mana “modularity” berfungsi dengan baik. Ini kerana IT melibatkan pengulangan proses yang kecil sehingga menjadi entiti yang kompleks.
Dalam erti kata lain, kita tidak perlu memasang sistem 1BestariNet untuk 10,000 sekolah sekaligus. Membayar untuk pemasangan sebesar itu tanpa bukti yang pemasangan untuk satu-dua sekolah pun tak berbaloi, adalah satu kerja yang amat tidak bijak.
Soalan ketiga yang perlu kita tanya ialah, di manakah perancangan fasa pemasangan di sekolah? Adakah fasa pertama diselidik sebelum wang RM4 bililon diserahkan kepada YTL Communications?
Jika fasa awal tidak dapat dilaksanakan dengan baik, mengapakah keseluruhan kos diserahkan kepada YTL Communication?
Dalam pembentangan Bajet 2017, nampak dengan jelas dua bidang yang memerlukan dana, iaitu pendidikan dan kesihatan, dikurangkan peruntukan. Dalam pada itu, kita terpaksa menerima kerugian dalam projek sebesar 1BestariNet.
Ini adalah hakikat yang tidak patut diterima rakyat dengan begitu saja. Kita perlu mendapat jawapan dan jika perlu, mengambil tindakan yang sewajarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA