Khamis, 3 November 2016

Azmin yakin bekas bos SPR akan dedah ‘konpirasi BN’ pada PRU lepas

Rashid merupakan antara nama yang dilantik ke barisan kepimpinan tertinggi PPBM semalam.
azmin-rashid
SHAH ALAM: Pengumuman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semalam melantik bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebagai naib presiden disambut baik PKR hari ini, yang berharap beliau akan membantu mendedahkan “konspirasi Barisan Nasional” (BN) pada pilihan raya sebelum ini.
“Kita tahu SPR dipergunakan oleh parti itu (BN), antaranya melalui persempadanan semula. SPR seolah-olah menerima arahan daripada mereka untuk mewujudkan kawasan selamat bagi BN,” kata Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, pada sesi soal jawab di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.
Menteri besar Selangor itu menjawab soalan Datuk Rosni Sohar (Hulu Bernam-BN) yang mahu bukti campur tangan BN dalam urusan pilihan raya.
Rashid yang mengetuai SPR dari tahun 2000 ke 2008, merupakan antara yang dilantik PPBM dalam barisan kepimpinan tertinggi parti itu, yang turut menamakan beberapa bekas pemimpin Umno dan Perkasa.
Rashid pada 2013 pernah mengakui SPR menjalankan persempadanan semula dengan tujuan mengekalkan “kuasa orang Melayu”.
Sementara itu, Azmin mempersoalkan pelantikan Pengerusi baharu SPR, Tan Sri Mohd Hashim yang merupakan bekas setiausaha sulit kepada Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.
“Bagaimana SPR boleh bertindak bebas dan profesional jika pegawai kanan Umno dilantik sebagai pengerusi SPR?
“Tiga minggu lalu, diangkat satu nama untuk dilantik timbalan pengerusi SPR, sedangkan beliau merupakan ketua setiausaha perdana menteri.
“Saya bersyukur cadangan itu ditolak oleh Majlis Raja-Raja. Inilah bukti SPR dipergunakan oleh BN. Badan ini tidak boleh dianggotai oleh mana-mana parti politik,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA