Ahad, 20 November 2016

Azmin: Lebih ramai akan ditahan, tetapi perjuangan tetap diteruskan

Bersih akan mengadakan nyalaan lilin di luar Balai Polis Daerah Jinjang, malam ini, sebagai bantahan terhadap penahanan Maria, ahli dan pemimpin pembangkang serta aktivis Bersih yang lain.
azmin
PETALING JAYA: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali percaya lebih ramai wakil rakyat dan aktivis akan ditahan polis, namun mereka tidak gentar dan akan meneruskan perjuangan demi negara.
Oriental Daily melaporkan timbalan presiden PKR itu berkata demikian ketika bersama Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok dan kira-kira 40 orang bersolidariti di Pusat Tahanan Berpusat Jinjang, pagi tadi.
Menteri besar Selangor itu turut menulis poster “Bebas Rakyat” untuk diletakkan di kawasan sekitar sebagai tanda sokongan terhadap ahli, pemimpin Pakatan Harapan serta aktivis Bersih yang ditahan di bawah Ops Bersih sejak kelmarin.
Adun DAP Pasir Pinji, Howard Lee dan 2 ahli cawangan Balakong parti itu ditahan di Pusat Tahanan Berpusat Jinjang.
Sementara itu, Lim berkata, pegawai penyiasat memaklumkan kepada Gobind Singh Deo dan beberapa peguam Bersih yang memasuki pusat tahan itu, reman Lee bersama 2 ahli parti terbabit akan dilanjutkan, namun tidak diketahui jika permohonan polis itu diluluskan mahkamah.
Beliau turut mengecam polis kerana menggunakan Seksyen 147 dan 511 Kanun Keseksaan untuk melakukan tangkapan.
Kok pula menyifatkan tangkapan polis sebelum dan selepas perhimpunan Bersih adalah tidak patut dan tidak demokrasi.
Dalam pada itu, Bersih akan mengadakan nyalaan lilin di luar Balai Polis Daerah Jinjang, malam ini, sebagai bantahan terhadap penahanan ketua kumpulan itu, Maria Chin Abdullah bersama 15 yang lain.
Kumpulan reformasi pilihan raya itu dalam satu kenyataan hari ini menuntut mereka dibebaskan segera dan mengutuk tindakan polis ke atas aktivis Bersih, ahli serta pemimpin politik pembangkang, selain penggunaan akta anti keganasan terhadap Maria.
“Kami sangat terkejut dan jijik dengan penyalahgunaan Sosma secara terang-terangan, satu undang-undang kontroversi yang diwajarkan sebagai langkah tangani pengganas, digunakan ke atas rakyat tidak bersalah seperti Maria.

“Ini adalah penindasan jelas terhadap hak rakyat yang mempunyai pendapat berbeza serta menjejaskan demokrasi berparlimen.
“Penahanan Maria dan lain-lain hanya akan memperkukuhkan azam kami untuk memperjuangkan perubahan,” katanya.
Lee ditahan di bawah Seksyen 147/511 Kanun Keseksaan semalam, manakala Maria pula ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).
Maria dan urus setia Bersih, Mandeep Singh ditahan petang Jumaat lalu dalam serbuan ke atas pejabat Bersih di Petaling Jaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA