Khamis, 10 November 2016

Azmin dedah bukti baru pengambilalihan SPLASH

Setiausaha kerajaan negeri ketika pemerintahan Khalid mengesahkan tawaran RM2.975 bilion dibuat kepada SPLASH.
bahasa, khalid ibrahim, splash, azmin ali
SHAH ALAM: Bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diminta bertanggungjawab dan tidak mengalihkan perhatian rakyat mengenai tawaran sebenar yang dibuatnya dalam pengambilalihan ekuiti Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH).
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bukti baru diperolehinya hari ini yang menunjukkan Khalid menawarkan ekuiti sebanyak RM2.975 bilion kepada SPLASH.
Katanya, bukti itu diperoleh daripada bekas setiausaha kerajaan negeri ketika pemerintahan Khalid.
“Pagi ini saya mendapat pengesahan daripada (bekas) setiausaha kerajaan negeri, Datuk Seri Ramli Mahmud yang mengesahkan itulah keputusan yang dibuat Khalid, menawarkan RM2.97 bilion kepada SPLASH. Ini patut beliau jawab,” katanya di lobi Dewan Annex DUN Selangor.
Tambahnya, Khalid tidak perlu menuduh mengenai pembayaran 10 kali ganda terhadap SPLASH kerana tuduhan itu tidak berasas.
“Perdebatan hari ini ialah Khalid berkokok di seluruh dunia yang beliau menawarkan hanya RM250 juta dan menuduh saya membayar 10 kali ganda. Tuduhan itu tidak berasas kerana belum ada kata putus yang kita tetapkan.
“Beliau tidak menawarkan secara rasmi kepada kadar RM250 juta sebagaimana didedahkan dalam Dewan. Beliau menawarkan RM2.97 bilion dari segi ekuiti dan liabiliti kepada SPLASH dan ia menerima tawaran kerajaan negeri pada ketika itu,” katanya.

Pertikaian antara Azmin dan Khalid berhubung pengambilalihan SPLASH dilihat berlarutan sehingga hari ini.
Azmin turut bertegas Khalid yang memulakan tawaran RM2.9 bilion kepada SPLASH untuk mengambil alih aset syarikat konsesi air itu.
Bagaimanapun, Khalid terus menafikan dakwaan Azmin dan memaklumkan sudah menghubungi pejabat DUN Selangor untuk menetapkan tarikh bagi menjawab tuduhan dilemparkan Azmin terhadapnya.
Bagaimanapun, permohonannya ditolak Speaker DUN, Hannah Yeo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA