Khamis, 17 November 2016

Azalina bidas Wan Azizah gesa kelas semula laporan 1MDB

Beliau berkata gesaan ketua pembangkang itu secara tidak langsung mempersoal kredibiliti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara termasuk ahli Parlimen pembangkang di dalamnya.
azalina-azizah-1mdb
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini membidas gesaan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail supaya Laporan Ketua Audit Negara ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dikelaskan semula sebagai dokumen bukan rahsia rasmi.
Beliau berkata gesaan ketua pembangkang itu secara tidak langsung mempersoal kredibiliti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) termasuk ahli Parlimen pembangkang yang menganggotai jawatankuasa bipartisan berkenaan.
Katanya, ahli Parlimen daripada pihak pembangkang yang menganggotai PAC mempunyai akses sepenuhnya kepada hasil laporan yang dibentangkan kepada jawatankuasa itu, sekali gus tiada keperluan untuk dikelaskan semula sebagai dokumen bukan rahsia rasmi.
“Keadaan ini sama seperti meminta kertas siasatan dijadikan sebagai dokumen bukan rahsia rasmi setelah pendakwaan dan penghukuman dibuat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Azalina berkata kenyataan itu juga jelas menunjukkan Dr Wan Azizah tidak faham peruntukan di bawah undang-undang termasuk status penubuhan 1MDB yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 dan bukannya sebuah badan awam.
“Dr Wan Azizah dilihat lebih berminat untuk mempertahankan dan mengalih perhatian terhadap hukuman yang diterima Ahli Parlimen Pandan (Mohd Rafizi Ramli daripada PKR) kerana mendedahkan dokumen rahsia rasmi,” katanya.
Dr Wan Azizah sebelum ini dilaporkan sebuah portal berita menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendedahkan laporan berkenaan yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA