Sabtu, 12 November 2016

Awan harap gabungan pembangkang lebih kukuh

Satu matlamat dan hala tuju yang fokus dalam menumbangkan Umno-BN perlu dicapai dalam konvesyen yang akan diadakan esok.Satu matlamat dan hala tuju yang fokus dalam menumbangkan Umno-BN perlu dicapai dalam konvesyen yang akan diadakan esok.Angkatan Wanita Amanah Nasional (Awan) menggesa Konvensyen Pakatan Harapan yang berlangsung esok menjadi titik tolak dalam memastikan gabungan pembangkang yang lebih kukuh menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 Ahli Jawatankuasanya, Ustazah Mariam Abdul Rashid berkata, satu matlamat dan hala tuju yang fokus dalam menumbangkan Umno-BN perlu dicapai dalam program yang diadakan di Ideal Convention Centre (IDCC), Sham Alam itu.
“Konvensyen ini untuk memantapkan lagi gabungan pembangkang di negara kita terutama hubungan ketiga-tiga parti iaitu Amanah, PKR dan DAP dalam Pakatan Harapan.
“Kita harap hasil konvensyen ini rakyat melihat satu kekuatan sebab rakyat meletakkan harapan besar kepada Pakatan Harapan,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline hari ini selepas sidang media isu pengusiran keluarga bekas AJK masjid di Subang hari ini.
Mengulas dakwaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menarik diri daripada menyertai Pakatan Harapan, beliau berharap bahawa itu bukannya keputusan muktamad bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
“Tindakan Muhyiddin di saat-saat akhir itu mungkin tidak berpanjangan. Kita harap itu bukannya keputusan mutlak beliau.
“Kita mahu semua rakan dalam parti pembangkang dapat bersama dalam satu gabungan besar lagi kukuh untuk menjatuhkan Umno-BN. Hanya pakatan dalam gabungan yang besar sahaja dapat kita mencapai tujuan tersebut,” jelasnya.
Ditanya tentang gabungan berkenaan tanpa penglibatan Pas, Ustazah Mariam yang juga AJK Amanah Negeri Selangor berkata, sikap menolak parti itu menggambarkan Pas tidak mengutamakan kepentingan rakyat.
“Pas sudah berkali-kali kita ajak buka pintu tetapi pemimpin mereka mengeluarkan pelbagai kenyataan. Pada saya, kita tidak cukup masa sebenarnya. Rakyat sudah cukup tertindas dan dizalimi oleh kepimpinan negara pada masa ini.
“Kalau ada parti seperti ini, mereka tidak melihat pada kepentingan rakyat. Sepatutnya ketepikan kepentingan diri. Letakkan pada keutamaan negara,” tegasnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA