Sabtu, 5 November 2016

Apandi: Polis masih siasat laporan organisasi dibiaya Soros

Apandi berkata, beliau belum menerima atau melihat kertas siasatan berhubung laporan organisasi menerima dana Soros.
apandi sorosKUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara belum menerima kertas siasatan berhubung laporan beberapa organisasi menerima dana daripada hartawan, George Soros.
Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, perkara itu masih dalam siasatan pihak berkuasa dan beliau belum menerima atau melihat kertas siasatan itu.
“Lepas siasatan baru saya buat keputusan (untuk mendakwa atau sebaliknya),” katanya selepas pelancaran buku sulungnya bertajuk “Fiat Justitia” yang bermaksud “Let Justice Be Done” yang disempurnakan Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, hari ini.
Semalam, Majlis Peguam mengakui ia menerima RM53,757.12 (AS$15,000) daripada Open Society Foundation (OSF) sebagai geran untuk menjalankan penyelidikan mengenai pekerja migran di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Migran, Pelarian dan Imigresen Majlis Peguam, Datuk Seri M Ramachelvan mendedahkan pembiayaan itu diterima daripada OSF pada 7 Januari 2015.
Baru-baru ini, DC Leak mendakwa OSF milik Soros menyalurkan dana kepada pertubuhan awam tempatan termasuk Bersih, C4 Malaysia, Pusat Kesedaran Komuniti (Empower), Penang Institute, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Jawatankuasa Pilihan Raya Bebas (Comfrel).
Buku Mohamed Apandi itu mengandungi himpunan lebih 70 penghakiman beliau dalam tempoh 12 tahun ketika menjadi hakim di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Mengenai buku itu, Mohamed Apandi berkata, ia turut merakamkan dengan jelas kehidupan awal beliau sebagai kanak-kanak di Tumpat, Kelantan dan semasa bertugas dalam perkhidmatan undang-undang dan kehakiman serta kerjaya penuh berwarna-warni sebagai peguam bela dan peguam cara.
Mohamed Apandi berharap buku 796 halaman berharga RM220 itu yang akan berada di pasaran pada Isnin depan, bakal memberi manfaat kepada hakim, peguam dan pelajar.

Antara penghakiman berprofil tinggi beliau yang dihimpunkan di dalam buku itu adalah kes Nik Noorhafizi Nik Ibrahim menentang pendakwa raya berhubung hak rakyat kepada perhimpunan aman dan menteri dalam negeri menentang ketua paderi Gereja Roman Katolik Kuala Lumpur.
Arifin dalam ucapannya berkata, tidak dapat dielakkan kadang-kadang suara dan personaliti seseorang hakim terpamer melalui penghakiman mereka.
“Bagaimanapun, satu perkara saya mesti katakan ialah menulis sesuatu penghakiman adalah satu kerja yang perlu dilakukan dengan cermat dan teliti, ia menuntut banyak usaha, dedikasi dan pengorbanan,” katanya.
Beliau berkata, ia sering tidak dihargai orang awam, namun sebagai hakim, mereka perlu berbangga dengan penghakiman yang ditulis sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA