Rabu, 23 November 2016

Apabila Melayu keliru budaya dan agama

Orang Melayu menganggap semua yang keluar daripada zon Timur Tengah itu berunsur Islam.
arab-malay
Nama saya Farouk. Bukan Faruq, Farooq atau pun, yang lebih kompleks, Farooque. Mungkin ejaan ketiga-ketiga variasi nama saya itu lebih tepat kepada yang asal tetapi ejaan nama saya adalah Farouk.
Inilah yang dinamakan evolusi bahasa. Nama yang asalnya daripada bahasa Arab diambil orang Melayu Nusantara.
Perlu diiingat, bahasa bukanlah satu entiti yang statik. Ia bergerak mengikut peredaran masa dan tempat. Semua bahasa tertakluk kepada hukum ini, termasuklah bahasa Arab sendiri yang dianggap ramai orang Melayu sebagai bahasa syurga.
Baru-baru ini, Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor mengingatkan umat Islam lebih cermat dan merujuk kepada orang yang berpengetahuan dalam menamakan anak mereka.
“Jangan beri nama anak yang sedap didengar sahaja. Malah ada yang berikan nama ‘Bahimah’ (binatang), Zani (penzina), Syarrul Bariyyah (sejahat-jahat makhluk) dan sebagainya”.
Isu ini setelah berlaku permohonan pertukaran nama untuk seorang perempuan daripada Nur Damia Safiyyah kepada nama Puteri Nur Safiyyah. Ini adalah kerana perkataan “Damia” dalam bahasa Arab maksudnya “tempat keluar darah”.
Saya hairankan kenyataan Wan Salim ini. Walaupun dia menyuruh orang merujuk kepada orang yang lebih berpengetahuan, mungkin orang yang berpengetahuan sendiri pun tidak tahu!
Inilah masalahnya apabila evolusi bahasa tidak dilihat dan kita hanya menterjemah dengan gaya literal sahaja.
Ada 2 masalah dengan hujah Wan Salim. Pertama, mungkin dia tidak memikirkan tentang pemanjangan bunyi dalam kalimah “damia”. Sekiranya “damia” dieja dengan pemanjangan “daa” and “mii” iaitu “daa-miyyah”, ia bermaksud bijaksana.
Sekiranya ia dieja dengan huruf ain dan bukan huruf alif, maka maksud perkataannya ialah “lembut” atau “baik”.
Mengapa Wan Salim tidak mengetahui variasi ejaan ini yang mengubah maksud “damia”? Kenapa dia hanya menterjemah mengikut ejaan yang literal sahaja?
Inilah akibatnya apabila kita tidak memikirkan tentang evolusi bahasa. Masalah ini berpunca daripada ketaksuban bangsa Melayu kepada budaya Arab.
Pada era ini kita menjadi “client race” (iaitu bangsa yang menerima secara buta) kepada bangsa Arab.
Ini tidak menghairankan langsung kerana kita menganggap semua yang keluar daripada zon Timur Tengah itu berunsur Islam.
Kita tidak mengamalkan pemikiran yang kritikal dalam perkara Islam kerana takut kita mungkin membuat pernyataan yang salah dan mendapat dosa.
Di sini, harus ditanya soalan asas mengenai fenomena agama – di manakah garis yang memisahkan agama dan budaya? Mengapa budaya? Kerana dalam agama semitik (seperti Yahudi, Kristian dan Islam), tedapat manusia (yang hampir selalunya lelaki) yang mendapat wahyu daripada Tuhan. Wahyu ini dikumpulkan menjadi buku dan diangkat sebagai kitab suci.
Al-Quran dan Bible adalah contoh proses ini walaupun proses pembukuan dan jangkamasa pembukuan mereka adalah berbeza.

Tetapi adakah manusia turun dari langit? Sudah tentu tidak! Al-Quran sendiri menyuruh Nabi Muhammad untuk membuat perisytiharan sebagai manusia biasa, cuma baginda mendapat wahyu Tuhan dan tidak boleh disyirikkan (Al-Quran, Surah Al-Kahf, ayat 110).
Lebih-lebih lagi, Al-Quran menekankan Nabi Muhammad adalah manusia yang makan minum dan tidak hidup selama-lamanya, menjalankan kehidupan seharian sebagai manusia biasa.
Kita patut bertanya, di manakah garis yang memisahkan di antara agama dan budaya? Nabi Muhammad dilahirkan di kalangan orang Arab pada masa yang spesifik. Jika kenderaan pada masa itu ialah haiwan seperti kuda dan unta, maka Nabi Muhammad akan menggunakan gaya kenderaan yang wujud, tidak mungkin menggunakan kereta atau kapal terbang!
Begitu juga dengan bahasa: jika Nabi perlu berfungsi dalam masyarakat Arab pada ketika itu, maka perlu menggunakan bahasa yang am untuk memenuhi keperluannya. Jika menggunakan bahasa yang tidak boleh difahami orang Arab, tindak-tanduknya tidak boleh menerima respon yang betul.
Tidak ada yang istimewa pada budaya Arab pada zaman itu mahupun pada mana-mana zaman yang selainnya. Budaya itu juga mempunyai amalan yang kurang baik (seperti saling berperang di antara kabilah) dan juga amalan yang disanjung (seperti menjaga tetamu dengan baik).
Nabi Muhammad, walaupun sebelum mendapat wahyu, diceritakan sebagai seorang yang menolak amalan syirik kaumnya, beretika tinggi dan dikatakan sebagai orang boleh dipercayai (al-amin).
Ini tidak bermakna yang budaya yang dihidupinya itu adalah agama. Agama itu terletak dalam wahyu yang sudah dibukukan.
Jika kita mengambil budaya Nabi Muhammad sebagai agama, maka kita akan menjadi hipokrit kalau kita menggunakan ciptaan moden. Kalau Nabi naik unta, mengapa kita naik kereta? Adakah kita lebih mulia daripada baginda?
Sesetengah umat Islam menjawab, ‘Itu bukan agama tapi budaya.” Soalan saya kepada mereka ialah, “Kalau orang yang naik unta di tengah panas untuk pergi berdakwah di jalan Allah dibandingkan dengan orang yang menaiki kereta yang berhawa dingin dengan kemudahan berinternet dan sebagainya untuk tujuan yang sama, yang mana lebih susah? Maka siapa yang beroleh pahala yang lebih?”
Amatlah susah membezakan budaya dan agama kerana agama melibatkan etika dalam menjalankan kehidupan dan budaya itu memberi kita cara hidup.
Budaya dibuat manusia. Tiada budaya yang lebih mulia daripada budaya lain. Apabila budaya berinteraksi, kita mendapat variasi dalam budaya tersebut. Jika orang Arab menggunakan kalimah “solat”, orang Melayu menggunakan “sembahyang” dan orang Pakistan menggunakan “namaz”.
Semuanya mempunyai rujukan yang sama saja, iaitu ritual Islam yang dikerjakan 5 kali sehari. Jadi kita tidak perlu menukarkan gaya bahasa kita, semuanya sama di sisi Tuhan.
Begitu juga nama. “Damia” mempunyai maksud tertentu dalam bahasa Arab tetapi bila ia masuk dalam budaya Melayu, ia mempunyai maksud yang berlainan. Kita tidak perlu bimbang penggunaannya kerana objektif kita ialah menjadi manusia yang baik dan bukan orang Arab tiruan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA