Rabu, 30 November 2016

‘Apa salah ayah, dia hanya pertahan tanah kami’ - Herry Boy


slide1GUA MUSANG, 30 NOV: Penahanan dan operasi pemusnahan blockade serta pondok Orang Asli di Gua Musang oleh Kerajaan PAS Kelantan semalam terus mendapat perhatian rakyat negara ini.
Tindakan itu tambah mencetuskan tidak puas hati rakyat apabila seramai 49 Orang Asli ditahan dan dalam operasi tersebut.
Rentetan itu, orang ramai, kumpulan masyarakat sivil dan parti politik yang mula berhimpun di Gua Musang sejak malam tadi mengadakan himpunan solidariti di Ibu Pejabat Polis Daerah menuntut agar kesemua Orang Asli yang ditahan dibebaskan segera.
whatsapp-image-2016-11-30-at-1-37-38-pm
Inah binti Amat
Bagaimanapun pembebasan 49 tahanan Orang Asli itu tertangguh apabila Mahkamah Majistret Gua Musang hari ini membenarkan permohonan reman Timbalan Ketua Polis Gua Musang, DSP Yap Sow Sing selama 2 hari, daripada 7 hari yang dimohon.
Lebih 100 orang asli dari seluruh negara termasuk dari Pahang, Perak, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan pada hari ini telah datang ke Gua Musang memberi sokongan ke atas penangkapan saudara-saudara mereka.
Mereka berarak dari IPD Gua Musang ke mahkamah majistret Gua musang.
Menurut Inah binti Amat, saudara kepada salah seorang tahanan iaitu Saudi a/l Asli, dia hadir pada hari ini untuk menuntut supaya semua tahanan dibebaskan segera.
“Saudi adalah adik saudara saya, saya sedih dia ditahan,” katanya sebak.

whatsapp-image-2016-11-30-at-1-37-27-pm
Herry Boy bin Angah
Inah berkata, kawasan hutan yang dimusnahkan pembalak telah memberi kesan buruk kepada masyarakat Orang Asli di mana sumber makanan, pendapatan, perubatan dan adat istiadat terjejas.
Kemelut balak melibatkan kerajaan PAS Kelantan dan Orang Asli Temiar di Gua Musang yang mencapai kemuncaknya semalam juga menyebabkan Herry Boy bin Angah yang merupakan seorang pelajar di sebuah institusi swasta Kuala Lumpur pulang ke kampung halaman.
Ia berikutan penahanan ayahnya Angah bin Tengau dalam operasi penangkapan pihak berkuasa semalam.
“Saya marah, mereka memperlakukan ayah saya seperti penjenayah.
“Dia (ayah) tidak buat apa-apa kesalahan, dia hanya mempertahan, melindungi sumber untuk anak-anak dan demi masa depan kami,” ujar Herry.
Katanya, dia terus memberikan sokongan kepada perjuangan masyarakatnya yang tertindas sehingga pembalakan dihentikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA