Rabu, 2 November 2016

Anwar seru semua sertai himpunan BERSIH

Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyeru semua pihak agar menyertai perhimpunan BERSIH 5.0 dengan semangat setiakawan yang bakal diadakan pada 19 November ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Komunikasi PKR itu, Anwar berkata, kerajaan telah memungkiri amanah dalam memastikan negara memperkasa demokrasi yang diikrarkan menerusi Perisytiharan Kemerdekaan 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.
Pada masa yang sama, ujar beliau lagi, tuntutan BERSIH 2.0 juga diketepikan.
"Di antara tunggak proses tersebut adalah pelaksananaan pilihanraya adil dan bersih.
"Maka saya menyeru semua rakyat untuk menyertai perhimpunan BERSIH 5.0 dengan semangat setiakawan pada 19 November 2016.
"Kehadiran saudara-saudari akan membantu menjana perubahan di negara Malaysia tercinta," tambah beliau.
Baru-baru ini, BERSIH mengumumkan dua tempat pertemuan dalam perhimpunan BERSIH 5.0 iaitu Dataran Maybank di Jalan Bangsar dan Masjid Negara.
Seterusnya, para peserta akan mara dan berhimpun di Dataran Merdeka.
Perhimpunan berkenaan akan bermula pada jam 10 pagi dan berlanjutan sehingga 6 petang.
Pada sidang media hari ini, badan pemantau pilihan raya itu berkata, pihaknya telah mengemukakan notis 10 hari yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 kepada pihak polis.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz menegaskan Dataran Merdeka adalah kawasan larangan bagi penyokong Baju Merah dan penyokong BERSIH.
Beliau memberitahu Malaysiakini tiada kelulusan diberikan kepada himpunan Baju Merah pada 5 November atau perhimpunan BERSIH pada 19 November.
"Tiada perhimpunan (di Dataran Merdeka) akan dibenarkan. Kedua-dua (permohonan) tidak diluluskan," kata Md Amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA