Rabu, 16 November 2016

Antara keretapi dan kesihatan awam

ECRLECRL
ahmad anwar asyrafahmad anwar asyraf2017 adalah tahun suram untuk poket rakyat Malaysia. Sewaktu saya menulis rencana berkaitan Belanjawan 2017, saya hanya menyangka Kerajaan Persekutuan yang diperintah oleh Najib akan menjerut poket rakyat selepas Pilihanraya Umum ke 14 nanti. Nampaknya telahan saya tersalah.
Belum pun semua kemanisan gula-gula Belanjawan 2017 itu dapat dinikmati oleh rakyat jelata ( kecuali diskaun pembayaran penuh PTPTN ), Pemerintah telah terlebih dahulu menjerut poket rakyat dengan pelbagai pengumuman pakej kenaikan harga.
Bermula dengan kenaikan harga bahan bakar kepada kenaikan harga minyak masak. Terkini caj wad dan rawatan hospital Kerajaan bakal naik 50 peratus bermula sama ada bulan depan atau pun Januari 2017.
Bagi sektor kesihatan awam pula, penamat 2016 juga kelihatan suram. Bermula dengan kebakaran Hospital Pakar Sultanah Aminah, Johor Bahru, kegagalan menempatkan graduan perubatan untuk menjalani housemanship, pengumuman cadangan mengenakan bayaran penuh di hospital Kerajaan yang rendah sedikit berbanding swasta.
Kemudian ditambah lagi dengan masalah kegagalan mengekalkan Pakar di hospital Kerajaan, kekurangan peruntukan hingga terpaksa menghadkan bilangan ujian patologi di Johor, dan juga pengumuman kenaikan caj wad dan perubatan menunjukkan kegagalan Kerajaan Persekutuan dalam polisi Kesihatan Awam.
Saya mungkin saja akan mempercayai hujah rakyat terpaksa berkorban di kala negara berdepan dengan kesuraman ekonomi. Tetapi, apabila saya melihat tindak tanduk Pemerintah yang galak untuk berbelanja untuk projek-projek mega telah membuatkan saya berfikir dua kali untuk mempercayai hujah tersebut.
Apakah kejayaan negara hanya diukur dengan perlaksanaan projek landasan keretapi berjumlah RM55 bilion? Walhal menurut pemain industri, projek tersebut boleh dibina dengan kos sekitar RM36 bilion sahaja.
Apakah kemakmuran ekonomi itu hanya dikira dengan membina landasan keretapi berkelajuan tinggi bernilai puluhan bilion ringgit? Apakah nikmat yang bakal diperolehi oleh rakyat marhaen dengan kewujudan keretapi laju ini?
Apakah negara bakal berhadapan dengan peperangan sehinggakan kita terpaksa membeli kapal-kapal perang dari China dengan segera? Saya agak skeptik dengan belanjawan pertahanan negara ekoran trauma dengan pembelian Scorpene dahulu. Malah, ratusan juta ringgit telah dikeluarkan untuk pertahanan negara semenjak kewujudan ESSCOM tetapi masih gagal menjaga sempadan perairan di Sabah.

Apakah tidak boleh kita tangguh dahulu projek-projek mega dan memberikan tumpuan kepada kesejahteraan rakyat seperti sektor kesihatan awam? Mengapa kita memilih untuk meneruskan projek mega dengan mengorbankan sektor kesihatan awam, pendidikan dan kesejahteraan rakyat?
Ketahuilah wahai Pemerintah, masih ada rakyat yang tidak mampu untuk mendapatkan rawatan pembedahan membuat fistula ekoran daripada sebuah hospital kerajaan bertaraf pakar tidak mempunyai pakar yang boleh membuat pembedahan tersebut. Diberi pilihan untuk membuat rawatan di hospital swasta yang akan menelan kos ribuan ringgit atau terpaksa memilih hospital kerajaan di daerah yang lain.
Namun apakan daya, kedua-dua pilihan itu di luar kemampuan kewangannya kerana dia hanya mencari rezeki dengan menjual air di sebuah warung yang terperosok jauh di pedalaman kampung.
Seperti kebanyakkan rakyat marhaen di luar sana, saya tidak menolak pembangunan fizikal. Tetapi apabila pembangunan itu tidak seiring dengan taraf ekonomi dan kehidupan setempat, akan lahirlah generasi yang mengemis di bumi sendiri tatkala Pemerintah terus menyebelahi konglomerat-konglomerat dalam dan luar negara mengumpul kekayaan tanpa kepedulian terhadap rakyat.
Inikah model negara maju yang kita harapkan? Terus meminggirkan rakyat sendiri di sebalik kemegahan keretapi berkelajuan tinggi? Adakah kita boleh merasa bangga dengan pembinaan projek-projek keretapi berbillion ringgit yang terhasil daripada derita, keperitan, kejerihan, keringat dan air mata rakyat marhaen yang bergelut untuk mencari sesuap nasi demi memenuhi tuntutan hidup yang semakin mahal dan mencabar.
Fikirlah, tidak semua rakyat mampu untuk menikmati rawatan perubatan swasta. Jika hospital-hospital awam tidak lagi dapat berfungsi dengan kondusif dengan harga yang sesuai dengan kemampuan semua lapisan rakyat, kemanakah lagi mereka boleh mendapat rawatan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA