Isnin, 7 November 2016

ANCAMAN KITA BUKAN DAP, TAPI "PPP"....

Mereka yang berpijak di bumi nyata dan berpaksi kepada realiti, tentunya bersimpati dengan gaya politik usang Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa ini. 

Lagi-lagi yang dilihatnya sebagai masalah dan ancaman kepada negara dan orang Melayu ialah DAP.

Semalam, beliau berteori bahawa DAP sedang menyusup ke dalam parti-parti pembangkang lain untuk menjadi dominan dengan kuasa di sebaliknya kerananya akan terus menyebabkan orang-orang Melayu berpecah sesama sendiri.

Kenapa DAP perlu dibimbang dan ditakuti?

Sudah berapa banyak duit negara disonglap dan tanah rizab Melayu dijual oleh DAP?

Apakah hutang negara, beban 1MDB, penyeluk saku GST, penarikan subsidi dan segala-galanya yang menyusahkan rakyat selama ini diakibatkan oleh DAP?
Sejak DAP memerintah Pulau Pinang dan menjadi rakan kongsi kerajaan Pakatan Harapan di Selangor, sudah berapa ramai Melayu menderita, tiada makan minum, tanah dan rumah kena rampasan serta bunuh diri kerana menanggung derita dalam kehidupan?

Selain itu, apakah parti-parti lain tidak ada kekuatan dan jumlah pemimpinnya sendiri untuk menjadi calon dalam piliharaya akan datang sehingga terpaksa bergantung kepada "wakil-wakil" DAP yang didakwanya menyusup itu?

Gaya politik usang Annuar ini tidak lain ialah untuk menimbulkan kesangsian kepada kekuatan parti-parti pembangkang yang terus menerus semakin menyerlah di hati rakyat sekarang ini.

Malangnya, Annuar seperti terlupa dengan hakikat bahawa kini adalah zaman millenium, bukan lagi era 70an atau 80an.

Politik perkauman dan percubaan menimbulkan kesangsian kerana warna kulit sudah semakin lupus dan tidak lagi diterima. Jika DAP dilihat sebagai ancaman, Annuar seharusnya lebih bimbang dengan sikap lunak Najib terhadap negara China dengan pergantungan yang tiba-tiba dan keterlaluan kerana walaupun negara tersebut sudah mengamalkan dasar ekonomi bebas, fahaman politiknya masih lagi komunis.

Jika DAP dianggap merbahaya, apakah Jho Low yang merupakan rakan karib Najib tidak lebih lagi bahayanya kepada rakyat dan negara?

Kiranya Annuar masih meletakkan otaknya dalam kepompong era 70an atau 80an, harus diingatkan kepadanya bahawa masalah sebenar yang dihadapi Malaysia sekarang bukanlah DAP atau penyusupan yang mungkin dilakukannya.

Rakyat tidak bodoh untuk menilai wajah sebenar DAP, sejarahnya serta berapa banyak kerusi yang akan ditandinginya.

Masalah seluruh rakyat, seperti kata Lim Kit Siang, ialah  "PPP" iaitu "pencuri, perompak dan penyamun" sehingga hala tuju negara sudah bertukar dan dikenali di seluruh dunia sebagai negara kleptokrasi.

Ancaman "PPP" ini pula tidak mengenal bangsa dan warna kulit. Membujur lalu dan melintang patah, semua disapunya. Adakah ia diakibatkan oleh DAP?  Apakah "PPP"  serta kleptokrasi akan lebih meluas jika penyususan DAP itu berlaku?

Bagi majoriti rakyat, kecuali golongan pendedak, inilah yang mereka rasakan sebagai  ancaman berterusan dan merupakan ketakutan sebenar kepada semua rakyat negara ini. Jika terus diberi kuasa, "PPP" ini dilihat mempunyai kecenderungan untuk semakin bermaharajalela secara lebih berleluasa tanpa ada hadnya.

Ketika Annuar berada di atas sejadah dan kopiah putih di atas kepalanya,  adakah DAP atau "PPP" yang disedarinya sebagai ancaman yang lebih bahaya kepada rakyat dan negara?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA