Ahad, 20 November 2016

AMK bersolidariti, desak polis bebas aktivis BERSIH 2.0 dan pimpinan pembangkang

Angkatan Muda Keadilan (AMK) terus bersolidariti dan menggerakkan usaha mendesak polis membebaskan tahanan pimpinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pembangkang terbabit dalam BERSIH 5.
Timbalan Ketuanya, Dr Afif Badardin, berkata ia kerana tindakan pihak berkuasa dan kerajaan pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) dianggap sebagai salah guna kuasa dan pencabulan terhadap perlembagaan persekutuan dan hak asasi rakyat.

“Saya mewakili seluruh AMK dan rakyat Malaysia pastinya mendesak supaya semua tahanan ini dibebaskan segera dan hentikan sebarang bentuk intimidasi terhadap pimpinan gerakan BERSIH 2.0 dan parti politik pembangkang.
“Kita akan teruskan solidariti dan mobilisasikan anggota AMK untuk terus mendesak polis membebaskan mereka dengan segera.
“Kita akan mulakan di sini kerana kebanyakannya ditahan di sini,” katanya kepada SelangorKini di luar Pusat Tahanan Berpusat Jinjang, di sini, hari ini.
Selepas himpunan BERSIH 5 semalam, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, ditahan polis.

Sehari sebelum itu, Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah dan Pengurus Sekretariatnya, Mandeep Singh, ditahan dikuti beberapa pemimpin lain.
Beliau berkata, hakikatnya keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak injuksi persatuan peniaga pada 18 November lalu menjadi bukti bahawa himpunan BERSIH 5 adalah himpunan diiktiraf dan dijamin haknya dalam perlembagaan negara.
“Bahkan kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Tan Sri Razali Ismail, bahawa setiap rakyat tanpa mengira penjawat awam, pelajar universiti atau sesiapa sahaja mempunyai hak untuk menyertai himpuan berkenaan.
“Ini kerana ia dilakukan dalam ruang lingkup perlembagaan negara,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA