Rabu, 30 November 2016

Amaran 'Panglima Pasir Salak' untuk penyokong DAP

Sokongan berterusan kepada DAP mungkin akan memakan diri dan semakin memencilkan masyarakat Cina di negara ini kata Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun.
Dalam ucapannya di perhimpunan agung tahunan pergerakan itu di PWTC Kuala Lumpur hari ini Khairul Azwan berkata sokongan diterima DAP mungkin akan membawa kesan cukup besar kepada landskap politik tanahair.
"Ditambah dengan pengukuhan (kedudukan) parti-parti politik bumiputera di Sabah dan Sarawak, tidakkah ini akan merubah landskap politik negara dengan wujudnya dominasi Melayu (dan) bumiputera dalam pembentukan kerajaan?" katanya.
Dalam keadaan begitu kata Khairul Azwan, akan wujud desakan dan tekanan kuat seperti meminta kerajaan mengurangkan tumpuan kepada sekolah aliran Cina.
Malah katanya sudah akan wujud tuntutan supaya sekolah berkenaan dihapuskan saja dan ia dibuat bukan saja di kalangan orang politik malah kumpulan profesional serta ahli akademik.
Kemungkinan lain dibayangkan Khairul Azwan jika DAP terus mendapat sokongan komuniti Cina ialah, perpindahan sektor startegik seperti pengangkutan dibawa ke negeri dikuasai BN.
"Mungkin hab penerbangan di Pulau Pinang (negeri yang kini ditadbir kerajaan Pakatan Harapan diketuai DAP), kita pindahkan ke Kedah atau Perak
"Ini tidak mustahil jika sikap chauvinis dan naratif DAP ini terus dianuti oleh pengundi Cina," katanya.
Mendakwa pengundi Cina "memakan dedak yang ditabur" oleh DAP, Khairul Azwan berkata sokongan mereka kepada parti berkenaan turut memungkinkan Umno mengkaji semula permuafakatan dalam BN, khususnya mengenai status quo dan kontrak sosial.

Khairul Azwan yang juga ketua pemuda Umno Pasir Salak itu turut mendakwa tidak teragak-agak membawa usul kepada pimpinan supaya kemudahan serta peruntukan untuk "kumpulan yang terus berdegil" terhadap semangat persefahaman BN ditarik balik.
"Selagi anak Pasir Salak digelar panglima medan, selagi anak Pasir Salak digelar naib ketua pemuda, saya tidak akan teragak-agak dengan akar umbi pemuda seluruh negara akan bawa usul kepada pucuk pimpinan dan kerajaan supaya mana-mana peruntukan dan kemudahan yang diberi kerajaan kepada kumpulan yang terus berdegil terhadap semangat muafakat inklusif BN - seperti dana bantuan, kontrak kerajaan atau jawatan dalam kerajaan - ditarik balik dan peruntukan itu kita bawa ke sekolah agama, sekolah pondok dan dana ekonomi bumiputera," katanya.

1 ulasan:

  1. Sebelum nak ugut org lain, cuba cermin diri sendiri dulu. Mesti ada sebab org meluat kpd kita. Ramai org melayu pun dah meluat kpd umno. Selain drp kos sara hidup yg menekan tengok pula pemimpin atasan hidup mewah. Tindakan polis yg berat sebelah buat semua org meluat tambah2 lg bukan melayu. Rajin2 sikit baca komen pembaca dlm blog spt malaysiakini, terutama english section. Ini tidak, bila tak suka dgn rencana yg kritikal terhadap kerajaan dan komen2 pedas pembaca, terus guna kuasa nak haramkan. Makin la org benci

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA