Jumaat, 18 November 2016

Amaran KSN larang sertai perhimpunan melampau, kata bekas hakim

Apa-apa tindak balas perundangan perlu bersesuaian, kata Gopal Sri Ram yang mempersoalkan ugutan terhadap penjawat awam.
gopal-sri-ram
PETALING JAYA: Bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram menyelar Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa yang mengancam akan mengambil tindakan ke atas penjawat awam sekiranya menyertai perhimpunan esok.
Sri Ram berkata kenyataan Ali itu melanggar perlembagaan yang memberikan hak berhimpun kepada penjawat awam selagi ia tidak memberi kesan terhadap tugas mereka.
“Hak berhimpun tertera di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan apa-apa sekatan tidak terpakai,” katanya kepada FMT.
Bersih 2.0 akan mengadakan perhimpunan ke-5 di ibu kota esok yang antara lain menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Perhimpunan juga dijangka dianjurkan penyokong Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos, pada hari sama.
Pada 8 November, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kedua-dua notis yang dihantar Bersih 5 dan penyokong Jamal gagal memenuhi prasyarat Akta Perhimpunan Aman 2012 untuk menganjurkan perhimpunan pada Sabtu ini.
Ali semalam memberi amaran penjawat awam tidak menyertai sebarang perhimpunan atau berdepan tindakan tatatertib, termasuk dibuang kerja atau potong gaji.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga akan mengambil tindakan terhadap penjawat awam, jika gambar mereka terlibat dalam perhimpunan itu disiarkan media.
Sri Ram berkata amaran Ali itu keterlaluan dan hukuman yang dicadangkan tidak sesuai.
Merujuk surat pekeliling Kementerian Pendidikan yang melarang guru menyertai perhimpunan itu, Sri Ram berkata apa-apa tindak balas perundangan perlu bersesuaian.
“Surat pekeliling itu umpama menggunakan racun untuk mengubati selesema,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA