Sabtu, 26 November 2016

Amanah tak setuju guna Sosma ke atas penyerang MP Shah Alam

Kekecohan di perkarangan bangunan Parlimen Khamis lalu Kekecohan di perkarangan bangunan Parlimen Khamis lalu
Parti Amanah Negara (Amanah) tidak setuju jika Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) digunakan ke atas mereka yang menyerang ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad.
Pengerusi Biro Undang-undang (Kanun) Amanah Mohamed Hanipa Maidin berkata, walaupun tidak bersetuju dengan serangan yang dilakukan ke atas mana-mana wakil rakyat di Parlimen namun untuk menggunakan Sosma ke atas mereka adalah tidak wajar kerana ia adalah akta yang zalim dan tidak memberi keadilan kepada orang yang ditahan.
"Bagi pihak Amanah, saya tidak setuju dan membantah keras jika kerajaan ingin gunakan Sosma ke atas perusuh perusuh tersebut.
"Amanah konsisten menentang Sosma digunakan ke atas sesiapa pun walaupun musuh politik Amanah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Nur Jazlan Muhamad yang tidak menolak kemungkinan Sosma digunakan terhadap individu terbabit.
Hanipa yang juga ahli Parlimen Sepang mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Nur Jazlan kerana tidak bersetuju dengan serangan itu dan menggesa parlimen mengambil tindakan ke atas mereka yang terbabit.
Khamis lalu, sekumpulan individu cuba menyerang Khalid di kawasan parlimen.
Ekoran kejadian itu, 11 individu, termasuk anak ahli parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ditahan kerana merusuh di kawasan parlimen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA