Selasa, 29 November 2016

AMANAH adakan konvensyen pertama di SACC pada 10, 11 Disember ini

Parti Amanah Negara (AMANAH) akan mengadakan konvensyen pertamanya selama dua hari bermula 10 Disember akan datang di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor.
Konvensyen berkenaan akan bermula seawal jam 9.00 pagi hingga jam 6.00 petang.
Menurut Setiausaha Agungnya, Anuar Tahir, konvensyen bertemakan "Amanah Demi Negara" itu akan mengemukakan satu dokumen tawaran atau garis besar hala tuju parti terbabit.
"Kita akan adakan mesyuarat agung bagi meluluskan Perlembagaan yang telah kita buat dan insyaAllah, kita akan terjemahkan kepada bahasa Melayu.
"Konvensyen juga akan mengemukakan dokumen asas yang menjadi tawaran parti kepada rakyat. Satu dokumen tawaran, garis besar, hala tuju parti tetapi bukan manifesto pilihan raya tetapi adalah satu piagam," kata Anuar dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, Anuar turut mengumumkan kemasukan Dr Tajul Ariffin Noordin dan Dr Mohammad Azmi Othman yang diyakini dapat membuka laluan terhadap penyertaan lebih ramai tokoh akademik ke dalam parti tersebut.
Tambah Anuar, selepas lebih setahun penubuhannya, AMANAH menerima perkembangan positif pelbagai pihak termasuk golongan profesional yang berminat menyertainya.

“Penyertaan dua mantan tokoh ilmuan ini adalah satu perkembangan menarik untuk turut serta bersama dalam memperjuangkan perubahan terhadap politik negara.
“Kita menjangkakan akan ada lagi penyertaan dari kalangan golongan ini semasa dan selepas konvensyen nasional parti berlangsung nanti yang mana akan ada kejutannya,” kata Annuar.
Bekas pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Tajul Ariffin, 65, berkata penyertaannya ke dalam AMANAH berikutan konsep parti itu yang menarik.
“Selain itu, kata-kata menerusi lagu parti iaitu Islam itu indah memberikan gambaran ia agama yang bukan ganas dan baik untuk perkembangan AMANAH.

“Diharap penyertaan saya membawa kesan membina melalui perjuangan ini serta ia adalah wadah terakhir pada usia sebegini,” katanya yang pernah bersama Umno dan PAS sebelum ini.
Manakala Dr Mohammad Azmi pula menjelaskan, beliau bersama AMANAH ketika ini untuk mencari alternatif lain selepas penyertaanya di dalam PAS sebelum ini.
“Saya adalah ahli seumur hidup PAS sejak 1988 dan saya bersama parti itu hingga ke hayat akhir Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mana selepas itu mencari haluan lain bagi perjuangan Islam.
“Selama mana ia (parti) berpegang kepada kebenaran maka kita kena taat tetapi apabila dilihat telah menyimpang dan tergelincir maka kita kena berubah mencari yang lain,” kata bekas pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA