Rabu, 16 November 2016

ALI TINJU MINTA ZURAIDA JAGA MULUT, JANGAN FITNAH PM, ROSMAH


KUALA LUMPUR: Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin diberi amaran supaya tidak celupar dengan menfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Presiden Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM), Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju berkata , Zuraida bersikap ‘kurang ajar’ apabila mengaitkan perdana menteri dan isteri dengan helikopter yang dinaiki pemimpin kumpulan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos.
“Kepada ‘kuning’ (Bersih 5), jaga mulut kamu. Seperti Zuraida, Ahli Parlimen Ampang, jangan sesekali menyatakan Jamal naik helikopter ditaja oleh perdana menteri dan isterinya Rosmah.
“Kamu biadab dan kamu menfitnah nama baik perdana menteri dan Rosmah. Buat pengetahuan semua, Najib dan Rosmah sekali-kali tidak terlibat dengan Jamal atau Baju Merah,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis terhadap perhimpunan Bersih 5 dan kumpulan Baju Merah di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini, Rabu.
Mohd Ali berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Zuraida yang percaya ada pihak atasan telah meluluskan permohonan Jamal menggunakan helikopter komersil untuk tujuan tidak bermanfaat dan beliau mempertikaikan bagaimana permohonan itu diluluskan dalam tempoh tidak sampai 24 jam. Jamal, pada Selasa telah menaiki helikopter untuk meninjau ‘kekayaan’ Ketua Pemuda PKR Ampang Datuk Adam Rosly, 28, yang didakwa memiliki banglo dan kereta mewah.

Dalam pada itu, Mohd Ali turut membidas Jamal dan pemimpin Bersih, Maria Chin Abdullah yang disifatkannya sebagai ‘tidak bertamadun’ dan tidak tahu undang-undang.

“Kalau semua gunakan otak, berfikiran waras, tidak seperti Maria Chin dan Jamal yang kadang-kadang otak kat lutut, dia pakai emosi sebab itu berlakunya kes huru-hara,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai laporan polis yang dibuatnya, Mohd Ali berkata, beliau tampil untuk bertindak setelah melihat kedua-dua kumpulan melakukan provokasi yang boleh mendatangkan bahaya dan pandangan tidak baik kepada negara.
Beliau menuntut pihak polis menggunakan kuasa dan mengambil langkah-langkah pencegahan dengan menangkap mana-mana pemimpin yang keras kepala dan tidak patuh arahan.
“Kalau ada kes bunuh, pertempuran siapa harus dipertanggungjawabkan pada hari tersebut.
“Dunia dan rakyat akan menuduh kelemahan kerajaan tak dapat mengatasi perhimpunan haram yang telah dirancang sekian lama,” katanya.
Mohd Ali hadir ditemani peguamnya, Mohd Yahya Zakaria dan kumpulan penyokongnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA