Rabu, 30 November 2016

Aktivis pelajar mahu UM gugur tuduhan

Keempat-empat pelajar itu boleh didenda, digantung atau dibuang daripada pengajian di universiti kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan Tangkap MO1 pada Ogos 27.
anis-shafqah
KUALA LUMPUR: Aktivis pelajar Anis Syafiqah menggesa Universiti Malaya (UM) menggugurkan semua tuduhan terhadap beliau dan 3 pelajar lain beberapa minit sebelum menghadiri perbicaraan disiplin hari ini.
Anis, bersama Muhammad Luqman Nul Haqim Zul Razali, Muhammad Luqman Hakim Mohd Fazli dan Suhail Wan Azahar, digantung pihak universiti kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan Tangkap MO1 pada 27 Ogos tahun ini.
“Kami mahu universiti menggugurkan semua tuduhan terhadap kami kerana ia tidak mempunyai hak dan justifikasi menghalang kami daripada mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut,” katanya kepada pemberita sebelum memasuki dewan perbicaraan di UM.
Keempat-empat pelajar diberikan surat tunjuk sebab daripada pihak universiti.
Jika didapati bersalah, mereka akan menghadapi mana-mana satu daripada hukuman berikut: amaran; denda tidak lebih RM200; larangan memasuki bahagian tertentu universiti bagi tempoh masa tertentu; atau digantung atau dibuang daripada universiti.
Pada 22 Okt, universiti itu mengeluarkan surat kepada 4 pelajar, memanggil mereka untuk pendengaran tatatertib hari ini.

Universiti menuduh pelajar bertindak dengan cara yang memudaratkan dan mendatangkan mudarat kepada kepentingan serta reputasi universiti, bertindak dengan cara memudaratkan keselamatan awam dan melanggar peraturan universiti.
Perhimpunan Tangkap MO1 pada 27 Ogos itu dianjurkan gabungan pelajar dan kumpulan belia yang menyeru penangkapan MO1 sebagaimana dinamakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat terhadap samannya baru-baru ini yang mempunyai kaitan dengan firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad.
Anis dan penganjur yang terdiri daripada pelajar mengetuai kumpulan yang berarak ke Dataran Merdeka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA