Isnin, 28 November 2016

Aktifkan segera Pakatan Harapan, kata Amanah Selangor


Ir Izham HashimIr Izham HashimPengerusi Parti Amanah Selangor, Ir. Izham Hashim menggesa supaya digerakkan segera Pakatan Harapan secara aktif agar dapat meyakinkan rakyat Selangor bahawa Pakatan Harapan bersedia meneruskan legasinya.
“Memang benar wujud kerisauan mengenai kemungkinan berlaku pertandingan tiga atau lebih penjuru dalam PRU ke 14 kelak. Dan terdapat juga analisa daripada pelbagai pihak yang menunjukkan kesukaran untuk calon Pakatan Harapan menang jika berlaku pertembungan antara Pakatan Harapan, BN dan Pas di kerusi yang sama,” kata Izham dalam Ucaptamanya di Konvensyen Pertama Amanah Selangor di Shah Alam pada Sabtu.
Dalam ucapannya Izham berkata,Amanah telah berusaha dan akan terus berusaha untuk memastikan akan berlaku pertandingan satu lawan satu di semua tempat. Tetapi ini semua ujarnya mesti dibuat di dalam kerangka kerjasama yang mantap, jelas dan berasaskan kejujuran serta semangat setiakawan yang tinggi.
Apa lebih penting ujarnya, ialah matlamat muafakat ini hanya satu iaitu mengalahkan BN dan menubuhkan kerajaan Pakatan Harapan kelak.
"Sebarang penyimpangan daripada prinsip asas ini akan hanya memudaratkan Pakatan Harapan dan menghakis kepercayaan rakyat kepada kewibawaan kita."
Menurut beliau lagi analisa dan laporan pengkaji memang wajar untuk dijadikan pedoman di dalam merangka strategi dan melaksanakan program kemenangan tetapi amat tidak munasabah menjadikan analisa ini semua sebagai kesimpulan atau pemutus yang muktamad.
"Sebagaimana yang berlaku pada pilihan raya presiden Amerika yang berakhir baru-baru ini di mana jelas menunjukkan hampir semua analisa telah meleset apabila pengundi memberi kemenangan kepada calon bukan pilihan.
"Sehubungan dengan itu, Amanah Selangor menyeru pimpinan tertinggi Pakatan Harapan segera memuktamadkan cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, penggunaan satu logo untuk calon-calon Pakatan Harapan, penggubalan satu manifesto dan pembahagian kerusi pilihanraya.
"Di peringkat Pakatan Harapan Selangor pula, katanya, kita perlu merangka dan melaksanakan banyak program bersama agar rakyat Selangor yakin kepada kesepaduan di kalangan komponen parti Pakatan Harapan," katanya.
Semuanya ini ujarnya lagi,perlu ada tempoh masa dan tidak boleh dibiarkan berlarutan sehingga hari pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

“Kegagalan kita mengambil tindakan yang tepat dan segera akan hanya memudaratkan kita di kemudian hari,” kata Izham.
Menurut Izham, kewujudan Amanah bukan sahaja bertujuan mengisi kekosongan sebuah parti Islam tetapi yang lebih penting sebagai satu pernyataan bahawa politik Islam mampu tegak di dalam masyarakat berbilang kaum dan agama dengan wajah yang progresif, demokratik dan inklusif.
"Kita juga sedia maklum kedudukan dan status Amanah dan Pakatan Harapan di dalam kerajaan negeri Selangor menjelang pilihan raya umum ke 14. Walaupun kita terpaksa menerima hakikat belum ada kerajaan Pakatan Harapan di Selangor sepenuhnya kerana beberapa perkiraan politik terpaksa dibuat dengan Pas.
"Demi kestabilan kerajaan Selangor yang ada tetapi Amanah tetap komited bersama kerajaan Selangor dalam membangunkan negeri dan masa depan Selangor.
“Kita semua bukanlah orang yang baru dalam politik berteraskan Islam selama ini dan sedar betapa kehebatan perjuangan yang dilalui berjaya membentuk individu yang bukan saja ikhlas dalam perjuangan malah sedia berkorban apa saja demi tuntutan perjuangan.
"Kita tidak boleh terus membiarkan perjuangan yang besar ini hanya bergerak dan berlegar dalam satu kitaran yang berbelit-belit penuh dengan “U-turn” dan ‘roundabout’ yang tidak selesai tanpa upaya untuk melonjak ke satu tanda aras baru,” katanya.
Kira-kira 500 orang telah hadir, termasuk dari DAP dan PKR serta NGO.Konvensyen Amanah pada tahun ini bertemaakan 'Selangorku Amanah'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA