Rabu, 16 November 2016

AJK PAS bidas Dr Mahathir sempena ulang tahun tragedi Memali

Peristiwa berdarah di Kedah yang mengorbankan 18 orang itu berlaku semasa pemerintahan Dr Mahathir Mohamad.
Riduan-Mohd-Nor-Namun_mahathir_600
KUALA LUMPUR: Peristiwa berdarah di Kampung Memali, Baling genap 31 tahun Sabtu ini, dan kebetulan jatuh pada hari sama perhimpunan Bersih 5 diadakan.
Menulis mengenai peristiwa tersebut hari ini, ahli Jawatankuasa PAS Pusat Riduan Mohamad Nor sempat menyindir Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menjawat perdana menteri ketika peristiwa yang mengorbankkan 18 orang itu berlaku.
“Minggu ini dalam pesta pora untuk mewirakan Tun Mahathir sebagai ikon perlawanan rakyat menentang rejim, aroma darah Memali kembali menggugat nurani kita,” tulis Riduan dalam artikel diterbitkan lidah rasmi PAS, Harakahdaily.
“Tragedi Memali yang berlaku pada 19 November 1985 adalah kemuncak manifestasi penentangan ahli PAS terhadap ISA,” katanya, merujuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Sabtu lepas, Dr Mahathir yang kini menjadi pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), secara rasmi mengumumkan partinya akan menganggotai Pakatan Harapan, gabungan pembangkang yang tidak dianggotai PAS.
Hari ini, Dr Mahathir tampil dalam video mengajak rakyat hadir pada perhimpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur bagi memberi tekanan kepada Datuk Seri Najib Razak supaya meletak jawatan.
Sebelum ini, bekas timbalan Dr Mahathir, Tun Musa Hitam, yang memegang jawatan menteri dalam negeri ketika tragedi Memali berlaku, kerap dipersalahkan kerana dikatakan gagal mengawal pertumpahan darah di Memali.
Dua tahun lalu, Musa berkata terdapat banyak salah anggap mengenai penglibatan beliau dalam tragedi Memali, yang berlaku sehari sebelum Dr Mahathir berlepas ke China untuk lawatan rasmi.
Tragedi Memali tercetus ekoran kerajaan bertekad menahan pemimpin berpengaruh Ibrahim Mahmud, yang pernah bertugas sebagai pendakwah di bawah Jabatan Perdana Menteri, di bawah ISA.

Penduduk kampung bagaimanapun cuba menghalang pihak polis daripada menahan Ibrahim. Seramai 14 penduduk kampung termasuk Ibrahim, dan 4 anggota polis, terbunuh selepas pertempuran yang turut menyaksikan penggunaan senjata api oleh pasukan keselamatan.
Menurut Riduan, media arus perdana ketika itu menggambarkan Ibrahim dan pengikutnya sebagai penjenayah.
“Memali adalah mercu tanda kezaliman rejim BN terhadap pejuang Islam negara ini. Tirai kezaliman rejim tirani yang akan terus diingati oleh pencinta Islam negara ini. Ianya arca berdiri, perjuangan seorang ulama yang ikhlas dalam perjuangan menentang kezaliman dan kebobrokan BN,” tulis beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA