Khamis, 24 November 2016

Ahmad Zahid perlu bertanggungjawab atas penahanan Maria Chin


Datuk Seri Anwar Ibrahim Datuk Seri Anwar Ibrahim Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi harus tanggungjawab di atas penahanan Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, (Sosma), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan melalui pejabat PKR hari ini, bekas ketua pembangkang itu berkata, beliau memahami apa yang dilalui Maria Chin.
“Sewaktu penahanan saya di bawah ISA di Batu Cantonment, di mana saya percaya Maria sedang ditahan, tidur saya telah diganggu, saya dikenakan soal siasat yang tidak tentu waktunya dan amat mengelirukan, makanan dan keadaan kebersihan yang kurang memuaskan.
“Lampu terang dibiar terpasang dalam bilik tahanan siang dan malam.
“Sekiranya seorang pemimpin masyarakat madani seperti Maria boleh ditahan di bawah Sosma, maka tiada seorang rakyat Malaysia pun yang selamat dari terkena nasib yang sama.
“Zahid Hamidi mesti mengambil tanggungjawab ke atas penahanan Maria. Keengganan beliau mengambil tindakan sejak Maria ditahan polis tidak boleh dimaafkan.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi“Bukankah Zahid menteri yang berkenaan dalam hal ini? Apakah beliau tidak mahu bertanggungjawab?" soalnya.
Anwar berkata demikian kerana pernah ditahan dua kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuk selepas pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri pada September 1998.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) baru-baru ini mengadakan pemeriksaan ke atas Maria, yang ditahan di sebuah lokasi rahsia selepas ditangkap Jumaat lalu, sehari sebelum perhimpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur.
Delegasi Suhakam diketuai pengerusi Tan Sri Razali Ismail memberitahu, aktivis berusia 60 tahun itu dikurung keseorangan dan tidak disediakan tilam untuk tidur.
Maria dilaporkan turut meminta diberikan naskhah al-Quran, bahan bacaan di samping ingin menemui anak dan keluarganya.
Anwar berkata penahanan Maria merupakan bukti Sosma “membahayakan kebebasan dan keselamatan semua rakyat Malaysia”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA