Isnin, 21 November 2016

Ahli turun BERSIH, Khairuddin serah pada pimpinan PAS

Walaupun tidak menyokong secara rasmi perhimpunan BERSIH5, namun PAS tidak menghalang anggotanya menyertai himpunan berkenaan, kata anggota Majlis Syura PAS Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
"Kita tak turun BERSIH secara rasmi tapi tak halang (anggota) untuk pergi," katanya pada pemberita di perkarangan Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, anggota parlimen Kuala Nerus itu berkata, beliau menyerahkan kepada pimpinan untuk memutuskan sekiranya terdapat sebarang tindakan yang akan diambil.

"Itu kita akan lihatlah oleh pimpinan macam mana keadaan," katanya lagi tanpa mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.
Bekas naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dikatakan antara yang hadir dalam acara itu, selain bekas ketua pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman dan artis Abby Abadi.
Selain itu, ditanya mengenai kurang penyertaan kaum Melayu pada himpunan 19 November lalu, beliau berkata apa yang penting mesej untuk menolak pentadbiran yang sedia ada dapat disampaikan.
"Tetapi yang jelas rakyat tolak BN. Tak timbul berapa yang turun.

“Tak penting berapa jumlah tapi yang penting suara rakyat sampai kepada pemerintah bahawa banyak polisi kerajaan yang kita tak setuju.
"Cuma PAS ambil sikap tersendiri untuk tak bersama dengan BERSIH," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA