Selasa, 15 November 2016

Ahli Parlimen PKR fail usul tindakan ganas Baju Merah

Beliau turut mendesak supaya ketua polis negara dipanggil ke Dewan Rakyat bagi menjelaskan tindakannya yang dilihat agak perlahan dalam menangani isu itu.
Shamsul-Iskandar_jamal_600
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mad Akin memfailkan usul untuk membincangkan provokasi gerakan Baju Merah di Dewan Rakyat.
Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) itu dibuat supaya tindakan provokasi dilakukan Datuk Jamal Md Yunos segera dihentikan.
“Dewan ini membahaskan usul mengenai perkara tertentu, berkepentingan orang ramai dan perlu disegerakan iaitu ancaman dan ugutan kumpulan Baju Merah yang mengugat keselamatan negara dan ketenteraman awam serta tindakan pihak berkuasa menangani masalah ini.
“Kebelakangan ini, Baju Merah diketuai Jamal melakukan provokasi sehingga bertindak ganas terhadap kumpulan yang menuntut pilihan raya bersih dan adil, iaitu Bersih.
“Provokasi yang dimulakan Baju Merah menyebabkan beberapa peserta konvoi Bersih diganggu malah ada juga yang cedera akibat provokasi melampau oleh kumpulan ini,” katanya dalam usul berkenaan.
Usul tersebut dihantar kepada pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan diterima pada jam 9.55 pagi, hari ini.
Selain itu, Shamsul turut mendesak supaya Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar dipanggil ke Dewan Rakyat bagi menjelaskan tindakannya yang dilihat agak perlahan dalam menangani isu ini.

“Jamal sudah beberapa kali melemparkan ugutan kepada Bersih yang jelas merupakan satu jenayah di bawah undang-undang Malaysia.
“Namun tiada satu tindakan diambil polis terhadap ugutan-ugutan dibuat Jamal. Kenyataan KPN, yang hanya berdiam diri dan mengambil sikap tunggu dan lihat amat mengecewakan orang ramai,” katanya.
Ahad lalu, ketua Umno Sungai Besar itu tercedera di bahagian hidung selepas pergelutan dengan beberapa pegawai polis di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur.
Ia terjadi beberapa minit selepas penyokong Baju Merah mengherdik Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin ketika berkempen mempromosi perhimpunan Bersih 5.
Semalam, Jamal membuat laporan polis kononnya dipukul penyokong Zuraida yang juga merupakan ahli Parlimen Ampang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA