Ahad, 13 November 2016

AHHH...JANGAN TERLALU JAUH TERTINGGAL BERBANDING KOREA!!

Himpunan Bersih 5 akan diadakan Sabtu depan, 19 November. Ia hanya kira-kira seminggu saja lagi daripada sekarang. 

Berdasarkan mood rakyat terhadap Najib Razak, UMNO dan kerajaan sedang berada di kedudukan paling rendah ketika ini dan program jelajah di seluruh negara telah diadakan dengan jayanya, tidak mustahil demonstrasi aman Sabtu depan itu akan mengundang kehadiran yang melimpah ruah dan di luar jangkaan.

Selain itu, promosi percuma yang diberikan oleh Kumpulan Baju Merah terhadap Bersih 5  yang berbaju kuning sejak beberapa minggu lalu dengan pelbagai insiden yang menjadi bualan masyarakat, turut dipercayai mampu menyumbang kepada keghairahan orangramai untuk turut serta menghadirinya.

Berapakah dijangka akan turun pada 19 November nanti?

100 ribu? 200 ribu? 500 ribu? Atau lebih daripada itu?
Berapa pula Kumpulan Baju Merah yang bertujuan untuk menghalang Perhimpunan Bersih 5 yang berbaju kuning, mampu mengerahkan kekuatannya?

300 ribu? 30 ribu? 3 ribu? Atau sekadar 300 orang?

Di Korea Selatan, situasi yang hampir sama dengan Malaysia di mana demostrasi mendesak perletakan jawatan presiden negara itu juga sedang memuncak dan membuak-buak.

Semalam, diadakan demonstrasi besar-besaran dengan pihak penganjur menganggarkan sejuta rakyat telah turun dan berhimpun dalam demonstrasi yang sudah memasuki minggu ketiga diadakan.

Mampukah demonstrasi 19 November nanti menyamai jumlah di Korea Selatan itu?

Kalau tidak sejuta, bagaimana kalau separuh daripadanya?

Atau, setidak-tidaknya suku daripada sejuta itu?

Berdasarkan keghairahan rakyat negara kita terhadap drama-drama Korea, diharapkan sekurang-kurangnya contohilah juga semangat rakyatnya yang sedang membara ketika ini.

Dapat mencapai suku atau 20 peratus seperti mereka pun sudah cukup membanggakan sebenarnya.

Bersama dan satu semangat dengan mereka menunjukkan kita tidak bersendirian di dunia ini melakukan perkara yang sama. 

Ahhh...yang penting jangan terlalu jauh kita tertinggal berbanding semangat rakyat Korea.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA