Khamis, 17 November 2016

AG atasi undang-undang, soal Khairuddin

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mempertikaikan pendakwaan terhadap KiniTV esok kerana menyiarkan kenyataan bekas pemimpin akar umbi Umno itu yang mengkritik Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali.
Khairuddin berkata keadaan itu “amat pelik” kerana sebuah televisyen atas talian didakwa kerana melaporkan kenyataannya yang menggelar Apandi sebagai “haprak”.
“KiniTV hanya buat laporan atas kenyataan akhbar saya dan tidak menerbitkan satu dokumentari mengenainya!

“Kenapa pula KiniTV yang kena dakwa?” soal bekas naib ketua Umno Batu Kawan dalam kenyataannya hari ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) petang ini menghantar notis hadir ke Mahkamah Khas Siber di Kuala Lumpur awal pagi esok kepada KiniTV dan pengarahnya Steven Gan dan Premesh Chandran.

KiniTV akan dituduh membuat dan menghantar komunikasi “jelik” dengan niat “menyakitkan hati orang lain” melalui video bertajuk “Khairuddin: Apandi Ali tidak layak jadi AG, wajar segera letak jawatan” dan satu lagi video sama yang menggunakan tajuk bahasa Inggeris.

KiniTV, saluran video atas talian Malaysiakini, akan dituduh bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
Video dipertikai itu berkisar mengenai sidang akhbar Khairuddin yang membidas Apandi dan menuntutnya meletak jawatan kerana enggan membuat pendakwaan dalam kes 1MDB.
Sebelum ini, SKMM mengarahkan KiniTV mengeluarkan laporan berkenaan kerana didakwa melanggar Akta Multimedia dan Komunikasi.
Sementara itu, Khairuddin juga mendedahkan beliau turut disiasat susulan kenyataan itu, tetapi oleh pihak polis dan bawah Akta Hasutan 1948.
“Negara kita mengamalkan undang-undang apa ini? Adakah dengan memanggil peguam negara sebagai 'haprak' saya bakal didakwa di bawah akta hasutan?

“Dengan memanggil Apandi Ali sebagai 'haprak' saya menghasut apa? Ini benar-benar buat saya bingung!


“Kadang kala saya rasa seolah-olah berada di alam Flintstone dengan mengamalkan undang-undang rimba!” katanya.

Beliau juga membangkitkan persoalan sama ada peguam negara sebagai penjawat awam tidak boleh dikritik sebagai “haprak”, berdasarkan perlembagaan negara ini.

“Apakah peguam negara ini seorang yang mengatasi undang-undang seperti status raja-raja Melayu?” soalnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA