Khamis, 10 November 2016

ADUHHH...LURUH JANTUNG MEMBACA SURAT TERBUKA, TAPI SAHUTLAH CABARAN INI!!

Tanpa ragu, cabaran yang dilontarkan oleh peguam Hanif Khatri Abdulla kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad  agar beliau membuka kembali kertas siasatan terhadap Najib Razak berkaitan 1MDB dan SRC International dengan memohon semula Bantuan Guaman Bersama atau MLA melalui Jabatan Peguam Negara, adalah sesuatu yang wajar dan relevan.

Rakyat Malaysia seluruhnya juga tentu akan menyokong dan tabik dua belah tangan kepadanya jika berbuat demikian.

Tidak guna beliau sekadar gagah membuat surat terbuka dengan bait kata-kata yang indah dan mempersonakan, tetapi tidak berani bertindak kepada suatu "ibu kes" yang menjadi perbualan rakyat dan perhatian seluruh di dunia.

Tangkap dan dakwalah berapa banyak kes yang lain, ia pasti tidak sama dengan kes melibatkan Najib berkaitan 1MDB dan SRC International. Tambahan lagi, berkaitan SRC misalnya, Najib sendiri mengaku menerima wang itu, cuma mendakwanya tidak tahu ia datangnya daripada SRC, tapi tetap enjoy membelanjakannya.

Walaupun diketahui juga semasa SPRM dipimpin oleh Abu Kassim Mohamed, agensi itu telah dua kali memohon MLA tetapi ditolak oleh Peguam Negara, Apandi Ali sebelum kes melibatkan Najib diarahkan tutup, tidak menjadi kesalahan bagi Dzulkifi mengemukakan permohonan itu sekali lagi.

Jika permohonan kali ini ditolak juga oleh Peguam Negara, sekurang-kurangnya diketahuilah bahawa beliau telah cuba berusaha sedaya upaya untuk menyiasatnya semula.

Cuma, halangannya ialah Peguam Negara yang tidak memberi kebenarannya. Dengan itu, Dzulkifli tidak akan dipersalahkan lagi sampai bila-bila.

Yang penting, beritahulah kepada rakyat semua bahawa beliau mahu memohon semula MLA kepada Peguam Negara agar proses siasatan dan usaha memperolehi dokumen di luar negara dapat dilaksanakan segera.

Tidak susah, itu saja yang perlu dilakukan oleh Dzulkifli.

Dalam warkah terbuka sempena 100 hari perkhidmatannya sebagai Ketua Pesutuhjaya SPRM baru-baru ini, antara bait-bait ayat mempersonakan yang dilafazkan oleh Dzulkifli yang ditujukan kepada Yang Berhormat, ahli-ahli politik dan pemimpin masyarakat ialah, "Jangan kamu khianati amanah rakyat. Jangan hanya mahu didendang dan dijulang di persada takhta, sedang pertimbangan dan kepentingan rakyat dibiar alpa.

"Segala janji yang ditaburkan, harus dijelmakan menjadi lebih dari sekadar harapan.  Hentikan membuai para marhaen dengan ciptaan dan dongengan yang mengaburi kebenaran, sedang jari jemarimu terus rakus meragut habuan.

"Laksanakanlah 5 amanah yang dituntut dan perjuangkanlah nasib rakyat yang dahagakan pembelaan dan perjuanganmu. Yakinkanlah kami dengan menentang kebejatan rasuah dan salah guna kuasa. 

"Agar lenyap dan hilang di dunia, segala racun yang menjadi pemusnah merobek nilai-nilai bangsa."

Kepada penguatkuasa undang-undang pula, Dzulkifli berpesan, "Amanah dan kuasa bukan perkara mainan untuk diinjak dan dijual buat lacuran. Amanah dan kuasa ini kurniaan Allah SWT yang dituntut kejujurannya buat mengabdi kepada rakyat dan negara. 

"Sedarlah bahawa khazanah dan harta negara itu adalah hak rakyat dan bukan milik peribadi buat memenuhi nafsu kepentingan diri. Apatah lagi untuk dikhianati dan dijual beli.

"Hentikanlah meragut hasil duniawi dan lunaskanlah khidmat serta janji sebagai hamba rakyat yang sejati. Lewat ini semakin banyak anak-anak mata yang memerhati. Hati-hati saudaraku, hati-hati.

Buat mereka yang masih mabuk dengan suapan, beliau juga menitipkan peringatan, "Dengarkanlah laungan amaran ini. Buat kali yang sekiannya, hentikanlah segala pengkhianatan yang berumbikan rasuah dan salah guna kuasa!

"Janganlah terus dangkal mendabik dada, kelak terancam nyawa dan raga, tersembam rebah ditimpa bala.

"Awaslah! Api perjuangan ini semakin hangat membara. Gendang tempurnya semakin lantang bergema, gegak gempita menggegar angkasa. Biarku gugur melayang nyawa mempertahankan nusa, pastiku rempuh si durjana pengkhianat bangsa!

Aduhhh...begitu bersemangat bunyinya, boleh luruh jantung membacanya!

 Tapi,  segala-galanya tidak akan bermakna kalau memohon semula MLA pun tiada keberaniannya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA