Rabu, 23 November 2016

Adenan arah semua MP BN Sarawak tentang usul Hadi

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dilaporkan mengarahkan semua ahli parlimen BN negeri itu menentang Rang Undang-Undang Ahli Persendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355).
Akhbar The Star yang memetik Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian berkata parti komponen BN Sarawak telah diarahkan supaya tidak menyokong rang undang-undang yang akan dibacakan kali kedua di Parlimen esok.
Dr Sim dilaporkan bersama-sama dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Tan Sri James Masing, bertemu dengan Adenan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri di Kuching, hari ini.
Masing adalah juga Presiden PRS manakala Abang Johari dan Uggah adalah masing-masing timbalan presiden dan naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
"SUPP sentiasa menentang Rang Undang-undang ini kerana ia bukan dalam semangat apa yang asalnya kita tandatangani dalam Perjanjian Malaysia 1963.
"Pendirian ketua menteri bersama-sama dengan BN Sarawak mengenai hudud masih terpakai. SUPP telah mengarahkan semua ahli parlimennya untuk menolak rang undang-undang itu jika ia dibawa kepada pengundian.

"Semua parti komponen BN negeri sepakat dalam perkara ini," kata Dr Sim yang dipetik The Star selepas mesyuarat itu.
Sarawak mempunyai 31 ahli parlimen, 25 daripada mereka mewakili BN manakala lima dari DAP dan satu dari PKR.
Antara usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 itu adalah untuk meletakkan had bagi hukuman penjara, denda dan sebatan.
Ini termasuk, hukuman penjara antara tiga hingga 30 tahun, denda antara RM5,000 hingga RM100,000 dan sebatan setakat maksimum 100 kali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA