Jumaat, 4 November 2016

Adakah PAS beri kata dua kepada Najib, soal DAP

PAS nafi pendirian berubah, hanya sudi berganding dengan parti yang ada rekod kerjasama yang baik
lim-kit-siang-hadi-pas
KUALA LUMPUR: Pemimpin DAP Lim Kit Siang bingung dengan perubahan sikap PAS apabila Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kesudian untuk menjayakan rancangan 1 lawan 1 menentang BN dengan parti pembangkang lain.
“DAP digambarkan seperti syaitan, iblis dan musuh Islam. Jadi kami perlu kaji kenyataan itu terlebih dahulu dan berharap tiada udang sebalik batu,” kata Kit Siang kepada sidang di ruang legar Parlimen hari ini.
“Adakah Hadi cuba beri kata dua kepada (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak?”
Beliau khuatir kenyataan Hadi itu cubaan untuk mendesak Putrajaya menyokong rang undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau Akta 355.
“Adakah Hadi cuba beritahu (Najib) ada akibatnya (PAS bekerjasama dengan Pakatan Harapan) sekiranya beliau tidak menyokong pindaan Akta 355?”
Ketua Pemuda PAS Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz bagaimanapun berkata Hadi tidak pernah berkata akan bekerjasama dengan DAP atau Pakatan Harapan.
DAP kini dalam satu pakatan bersama Amanah, yang ditubuhkan oleh kumpulan pemimpin PAS yang tewas dalam pemilihan parti Islam itu. PAS mengekalkan satu bentuk kerjasama dengan PKR.
“Apa yang Hadi sebelum semalam itu bukan keputusan baru,” kata Nik Abduh, “yang media sebut akan ada kerjasama dengan Pakatan Harapan itu adalah statement media, bukan Hadi.”
“Bukan u-turn bahkan keputusan lama bahawa PAS hanya berunding dengan parti yang tidak ada rekod buruk dengan PAS dalam sejarah hubungan Pakatan Rakyat dahulu.”
Ketika ditanya sama ada PAS akan berbincang dengan DAP untuk memastikan tiada pertembungan pelbagai penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14, Nik Abduh berkata: “Kita dah jawab dahulu kita tak akan berunding dengan DAP.”
“Tidak ada rundingan dengan DAP langsung.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA