Ahad, 27 November 2016

6 YB sertai Bersih 5: Pas dijangka tidak akan ambil sebarang tindakan


Pas dijangka tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas enam wakil rakyatnya yang menyertai Bersih 5 walau ia jelas bertentangan dengan arahan pucuk pimpinan parti itu.
Enam Ahli Parlimen dan Adun Pas terbabit adalah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Mazian Nik Mohamad; Ahli Parlimen Kubang Kerian, Ahmad Baihaqi Atiqullah; Adun Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Nawawi; Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa dan Adun Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.
Ketua Amanah Kawasan Sik, Sulaiman Ibrahim percaya Pas tidak akan berani mengambil apa-apa tindakan terhadap ke enam-enam mereka.
“Beranikah Pas memecat mereka?” soalnya yang juga dikenali sebagai Leman Raja Lawan.
Pengguna laman sosial Facebook Zain Abdullah turut menganggap Pas tidak akan mengambil sebarang tindakan kerana parti itu bimbang kehilangan lebih banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun).
Ketika gambar mereka selamba memakai kemeja-T Bersih 5 dan berarak dengan peserta himpunan Bersih viral di media sosial, pihak jawatankuasa tatatertib Pas setakat 23 November lalu mendakwa masih belum menerima sebarang laporan berhubung penglibatan mereka terbabit.
Pengerusinya, Datuk Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok berkata, pihaknya tidak ada menerima sebarang maklumat dari parti dan menunggu laporan sebelum membuat sebarang keputusan atau tindakan.
Walhal, dua hari sebelum itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan akan diambil untuk merujuk ahli partinya yang menyertai Bersih 5 kepada jawatankuasa disiplin jika menerima aduan dan terbukti.

Walau bagaimanapun, tiga hari selepas Bersih 5, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan ketika ditemui di lobi Parlimen masih memberitahu keputusan berhubung hal tersebut masih belum lagi dibuat.
Sikap rasmi Pas yang enggan menyertai himpunan Bersih berlaku sejak Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos tahun lalu.
Sekali lagi, pada tahun ini, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menegaskan Pas tidak menyertai Bersih 5.0 yang dianggap mempunyai matlamat tidak selari dengan parti di luar Pakatan Harapan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA