Jumaat, 4 November 2016

3 bekas menteri akan disiasat di bawah Akta Hasutan selain OSA, kata KPN


Khalid ABu Bakar 1Tiga bekas anggota Kabinet yang didakwa membocorkan rahsia kerajaan termasuk berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Rakyat akan turut disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 selain Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata dakwaan beberapa pemimpin pembangkang bahawa pihaknya tidak mempunyai asas untuk menyiasat tiga anggota Parlimen itu adalah tidak benar.
"Polis telah menerima banyak laporan dan kita telah klasifikasikan kes ini di bawah OSA dan Akta Hasutan kerana semua orang tahu 1MDB masih lagi di dalam siasatan.
Kami (polis) punyai cukup alasan untuk jalankan siasatan terhadap apa juga yang mereka sebut walaupun di dalam Parlimen kerana Akta Hasutan tidak memberi mereka imuniti sekiranya mereka berbuat demikian," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kononnya siasatan ke atas bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah tidak mengikut Perlembagaan negara.
Tiga bekas anggota Kabinet iaitu bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ahmad Husni didakwa membocorkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat.
Terdahulu, Khalid melancarkan National Urgent Response Alert (NUR Alert) di laman sosial Facebook di Bukit Aman, di sini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Keselamatan dan Amanah Facebook, Emily Vacher.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA