Rabu, 23 November 2016

1,000 peserta gesa bebas Maria diarah kosongkan Dataran Merdeka malam tadi

Kira-kira 1,000 penyokong BERSIH yang menghadiri majlis membantah penahanan pengerusi gerakan itu, Maria Chin Abdullah, telah diarah mengosongkan Dataran Merdeka malam tadi.
Bagaimanapun, ia diteruskan tanpa sebarang insiden sehingga selesai pada jam 10.30 malam, selepas penganjur bersetuju untuk mematuhi arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan beralih dari situ ke Jalan Raja.
Satu notis yang dipaparkan di skrin elektronik di Dataran Merdeka berkata tempat bersejarah itu telah ditutup dengan perintah Datuk Bandar, dari jam 5 petang sehingga 7 pagi hari berikutnya, dari 22 November hingga 29 November.
Tiada sebab alasan diberikan bagi penutupan Dataran Merdeka itu
Himpunan itu diadakan bagi membantah penahanan Maria pada 18 November, sehari sebelum perhimpunan BERSIH5 diadakan.
Beliau disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan berhubung 'aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen', dan juga ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Satu permohonan habeas corpus itu difailkan semalam bagi mendapatkan pembebasan beliau, dan pengurusan kes itu adalah esok.

Perhimpunan itu akan diadakan di Dataran Merdeka pada setiap hari sehingga pembebasan Maria, dan jumlah hadirin telah bertambah daripada kira-kira 650 orang pada hari pertama (Isnin), kepada kira-kira 1,000 malam tadi.
Kebanyakan peserta berpakaian warna kuning, manakala sebahagian daripada mereka memegang sepanduk 'Bebas Maria'
Acara itu bermula di Dataran Merdeka kira-kira jam 8 malam, dan hadirin beralih ke Jalan Raja pada pukul 8.45 malam, selepas pihak penganjur diarah mengosongkan tempat itu oleh sekumpulan anggota penguatkuasa DBKL. Sekumpulan anggota polis berada dekat situ untuk memantau keadaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA