Isnin, 28 November 2016

10 malam Sosma Maria

Selepas melalui malam-malam yang menjerihkan, ia bukan alasan untuk Maria Chin Abdullah mengambil masa panjang berehat di rumah.
Sejurus selepas dibebaskan daripada tahanan polis petang tadi, dia pulang untuk disambut tiga anaknya - Azumin, Aziman Azemi Yunus. Turut menunggu di rumah itu ialah bapa Maria Chin.
Sejurus kemudian rakan-rakan dari BERSIH mula tiba meraikan kegembiraan Maria Chin yang sebelum itu ditahan mengikut Sosma - iaitu nama lain yang lebih mudah untuk menjelaskan Akta Kesalahan Jenayah (Langkah-langkah Khas) 2012.
Agenda seterusnya ialah menuju Dataran Merdeka yang sejak 27 November lalu menjadi tempat berkumpul penyokong BERSIH untuk mendesak Maria Chin dibebaskan.
Malam ini Maria Chin hadir sendiri di lokasi itu.
"Saya tiba di sini (rumah) dan mereka semua datang," katanya dengan nada gembira kepada Malaysiakini.
Maria Chin ditanya apakah yang mula-mula dilakukannya sebaik tiba di rumahnya.
Menjelang jam 6 petang petugas media sudah berkumpul di depan rumahnya tetapi masing-masing masih teragak-agak untuk memanggil Maria Chin keluar.
Aktivis Suaram, Amir Abdul Hadi, yang tidak tidak lama kemudian memujuknya untuk bertemu media seketika.
Sambil mengucapkan penghargaan kepada penyokongnya Maria Chin juga menyampaikan mesej khas kepada ketiga-tiga anak lelakinya yang sentiasa menyokong dalam sebarang keadaan.
"Saya kagum dengan ketabahan anak-anak dan mereka tidak pernah meragui saya," katanya.
Ditanya pengalamannya ditahan sendirian selama 10 hari, Maria Chin berkata, kesan utama dialaminya adalah rasa bercelaru.
"Anda tidak tahu waktu ketika itu siang atau malam. Lampu dalam sel itu dibiarkan terpasang sepanjang masa dan tidak ada sebarang tanda menunjukkan waktu sebenar," katanya.

Lebih memburukkan keadaan kata pengerusi BERSIH itu, polis menutup matanya setiap kali dia dibawa keluar dari bilik tahanan untuk disoal siasat.
Soalan yang ditanyakan pula, kata Maria Chin, kebanyakannya berkaitan sumbangan Open Society Foundation - yang dikaitkan dengan hartawan George Soros - serta operasi Global BERSIH dan butiran akaun pertubuhan berkenaan.
Setiap sesi soal jawab, katanya, berlangsung lebih enam jam dengan tempoh rehat yang singkat di antaranya.
"Empat hari pertama memang menyeksakan. Saya sakit belakang sebab berbaring di atas papan dan hampir-hampir tidak dapat tidur langsung," katanya.

1 ulasan:

  1. KPN satu masa nanti akan menerima balasan dari tuhan. Hanya berani terhadap penentang kerajaan yang korup. MO1 curi duit tak tangkap2, double standard.....sialan punya tindakan.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA