Khamis, 3 November 2016

1 Lawan 1 : Kelantan ikut Pas pusat walau pahit

KOTA BHARU - Parti lain berhak membuat pelbagai spekulasi mahupun desakan dalam soal strategi satu lawan satu yang dibayangkan Pas bagi menentang BN pada PRU14 nanti.
Namun, bagi Pas Kelantan, mereka akan menerima dan akur dengan keputusan ditetapkan di peringkat pusat meskipun pahit untuk ditelan.
Pas Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pendirian Kelantan mudah, apa sahaja keputusan dibuat oleh kepimpinan di peringkat pusat akan diikuti.
“Cuma kita akan bagi pandangan kita apabila sudah ada keputusan di peringkat pusat dan kita akan berlawan mengikut keputusan yang dibuat. Kita bukan ikut pakatan tetapi akan ikut keputusan pimpinan Pas,” katanya, semalam.
Terdahulu beliau yang juga Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Kelantan merasmikan Kempen Kawalan Kumbang Merah Palma peringkat negeri dan turut dihadiri Pengarah Jabatan Pertanian Kelantan, Karim@Mohd Khari Yusof.
Sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin dilaporkan berkata, parti itu bersetuju dengan konsep satu lawan satu seperti diharapkan rakan pembangkang yang lain.
Bagaimanapun kata Hashim, kerjasama itu tidak akan dipersetujui sekiranya berlaku campur tangan pihak luar mengenai akidah dan agama dan juga terpulang kepada budi bicara pakatan itu bagi menumbangkan BN pada PRU14.
Begitu juga dalam soal cabaran Amanah Perak yang mahu Pas menyertai perhimpunan Bersih 5, jika serius mahu mengadakan kerjasama dengan parti pembangkang bagi menghadapi PRU 14 nanti, Che Abdullah berkata, segalanya terletak di bahu Pas pusat.
“Tidak ada masalah dia cabar. Keputusan dibuat di peringkat pusat. Kalau Pas Pusat kata OK, Pas Kelantan akan mengerahkan seramai mungkin untuk sertai. Kalau (Pas) pusat kata tidak, kita tidak akan pergi,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA