Rabu, 19 Oktober 2016

Zeti sertai panel penasihat Bank Pelaburan Infrastruktur Asia

AIIB mengumumkan Zeti akan menyertai 10 ahli utama lain dalam AIIB.
zeti-azizKUALA LUMPUR: Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dilantik sebagai ahli panel penasihat antarabangsa Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB).
Zeti yang disenaraikan sebagai ketua bank pusat terbaik dunia pada 2009 oleh majalah Global Finance, bersara pada April lalu, selepas 16 tahun menerajui BNM.
Dalam kenyataan, AIIB mengumumkan Zeti akan menyertai 10 ahli utama lain, termasuk bekas Perdana Menteri Pakistan, Shaukat Aziz; bekas Menteri Kewangan Sweden, Anders Borg; bekas Perdana Menteri Jepun, Yukio Hatoyama dan Setiausaha Agung Yayasan Global, Steve Howard.
Selain itu, bekas Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Strategi dan Kewangan Korea Selatan, Dr Oh-Seok Hyun; bekas Menteri Kewangan Nigeria dan bekas Pengarah Urusan Bank Dunia, Dr Ngozi Okonjo-Iweala.
Bekas Menteri Kewangan Timor-Leste, Emilia Pires; bekas Duta Amerika Syarikat, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Strategic Associates, Paul Speltz; bekas Ketua Ekonomi Bank Dunia, Nicholas Stern dan bekas Ketua Eksekutif Hong Kong, Tung Chee-Hwa.
AIIB berkata, mesyuarat pertama panel penasihat itu diadakan di Beijing hari ini.
“Panel tersebut menyediakan nasihat adil, objektif dan bebas kepada presiden, membolehkan bank tersebut meraih manfaat daripada pengalaman dan kepakaran ahli-ahli panel,” katanya.
Pada mesyuarat itu, ahli-ahli panel membincangkan keadaan ekonomi global dan implikasinya kepada operasi bank, keperluan menggalakkan infrastruktur hijau dalam agenda global baharu dan kepentinganmeningkatkan penglibatan sektor swasta dalam infrastruktur di rantau ini.

Pada akhir mesyuarat, Presiden AIIB, Jin Liqun berkata: “Ia satu penghormatan besar menghimpunkan kumpulan pemimpin peringkat antarabangsa yang berpengalaman untuk memberi nasihat mengenai pembangunan strategi bank itu.
“Saya tidak mempunyai keraguan nasihat disediakan panel akan membantu membentuk pembangunan bank itu pada tahun-tahun akan datang.
“Di samping itu, kumpulan duta akan membantu mempromosikan bank baharu kita kepada dunia.”
AIIB ialah sebuah bank pembangunan antarabangsa pelbagai hala, ditubuhkan pada 25 Disember 2015, dengan modal permulaan sebanyak AS$100 bilion, sejuta saham dan modal berbayar permulaan AS$20 bilion.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA