Rabu, 26 Oktober 2016

Zaid: Najib tidak layak bercakap mengenai kebenaran

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah orang terakhir yang seharusnya bercakap mengenai kebenaran, kata bekas Menteri di jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dalam satu catatan di blog beliau.
"Beliau gesa umat Islam untuk mempunyai kemahiran dan mampu menentukan kebenaran, tetapi bagaimana umat Islam mahu mengetahui apa yang benar apabila beliau menggunakan Akta Rahsia Rasmi, polis, peguam negara, agensi penyiasat, parlimen dan apa sahaja yang ada untuk menutup kebenaran?" kata Zaid.
Zaid berkata demikian merujuk kepada ucapan Najib di Seminar Wasatiyyah Antarabangsa 2016, yang bertemakan "Fiqh Tabayyun: Menghadapi Cabaran dan Fitnah Media Sosial", Isnin lalu.
Najib dilaporkan berkata menyemak asas kebenaran atau prinsip 'fiqh tabayyun' harus diperdanakan dan menjadi bidang ilmu yang perlu dikuasai umat Islam di negara ini.
Perdana Menteri juga melahirkan kebimbangannya bahawa jika umat Islam sendiri sudah tidak 'ber-tabayyun' dengan berita, malah menjunjung fitnah sebagai sesuatu yang benar serta wajar dipercayai.
"Bagaimanapun, Perdana Menteri kita, tidak mahu fakta diketahui. Beliau bercerita mengenai fitnah namun dirinya dan rakan-rakannya dalam PAS tidak akan mendakwa Sarawak Report.
"Beliau memutuskan untuk menggunakan wang pembayar cukai membiayai persidangan ini kerana mahu memberi gambaran bahawa beliau berminat dalam kebenaran, tetapi hakikatnya bahawa Najib takutdengan kebenaran," tulis Zaid.

Beliau seterusnya menyamakan Najib dengan calon kontroversi presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Menurutnya, kedua-dua mereka mempunyai idea sendiri tentang kebenaran dan kepalsuan yang berbeza dari kebanyakan orang, serta tidak mengambil peduli apa yang dunia perkatakan.
"Nasib baik, Najib tidak akan ada lagi berada di pejabat dalam masa setahun dan Trump pula tidak akan mendekati Rumah Putih," kata Zaid.
Beliau berkata kecenderungan Najib menggunakan konsep Islam dan bahasa Arab, yang beliau percaya tidak difahami mahupun dipercayai perdana menteri sendiri dilakukan semata-mata untuk mendapatkan undi orang Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA