Rabu, 26 Oktober 2016

Ulama perlu suarakan beza wahyu dan tafsiran manusia, kata aktivis Islam

Pengarah IRF berkata terdapat perbezaan antara apa yang boleh dianggap daripada Tuhan dan tafsiran manusia.
farouk-musa-irfPETALING JAYA: Para sarjana Islam perlu bersuara mengenai undang-undang syariah yang berdasarkan tafsiran manusia, kata Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa.
Ini kerana terdapat perbezaan antara syariah yang diwahyukan dan undang-undang Islam yang berdasarkan pemahaman dan tafsiran manusia.
Menggunakan rang undang-undang (RUU) syariah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai contoh, Farouk berkata, ia harus dibuka untuk perbahasan kerana ia adalah “secara asasnya adalah tafsiran manusia”.
“Ia pada asasnya adalah tafsiran manusia, jadi mereka bukan tuhan dan mereka bukan suci. Kita perlu mampu memahami perbezaan 2 aspek ini – sama ada daripada Tuhan atau apa yang ditafsirkan berdasarkan pemahaman sendiri,” kata Dr Farouk kepada FMT.
Memetik Ibn Qayyim, ulama besar abad ke-14, Dr Farouk berkata matlamat utama syariah adalah untuk memastikan keadilan dilaksanakan.
“Jika tidak ada keadilan, mana-mana undang-undang yang diluluskan tanpa keadilan atau undang-undang tidak adil, bukan syariah.”

Untuk mara ke hadapan, katanya, ulama perlu menyuarakan perbezaan di antara yang mana daripada Tuhan dan yang mana tafsiran sendiri.
“Ia terletak di atas bahu para ulama untuk menyuarakannya.
“Mereka perlu bersuara agar orang awam dapat memahami dan menghargai perbezaan. Terdapat banyak kes hari ini di mana segala-galanya dipolitikkan; di mana mereka mengatakan ini adalah hukum Allah supaya kita sebagai manusia tidak mempunyai kuasa untuk bersuara.
“Justeru, terpulang kepada para ulama untuk berbuat demikian. Jika mereka takut bersuara bagi mengatakan ini adalah pandangan manusia semata-mata, tiada apa akan berubah,” kata Dr Farouk.
Dua hari lepas peguam aktivis Siti Kasim dan sekumpulan penunjuk perasaan berkumpul seawal 9 pagi di luar bangunan Parlimen, membawa sepanduk dengan mesej “Islam itu indah” dan “Melayu bukan Pak Turut” bagi membantah usul PAS meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, untuk membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah syariah.
Siti berkata terdapat kekurangan perlindungan perlembagaan bagi umat Islam di negara ini, terutama selepas pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan undang-undang syariah setaraf dengan undang-undang sivil.
Peguam yang lantang itu berkata, umat Islam tidak boleh membuat tuntutan ke atas isu berkait Islam melalui undang-undang sivil kerana “badan kehakiman kurang keberanian”.
RUU yang dijadualkan untuk perbahasan di Dewan Rakyat pada Isnin menerima kritikan daripada beberapa kumpulan masyarakat sivil dan parti komponen Barisan Nasional, yang mengatakan ia sebahagian daripada usaha PAS untuk memperkenalkan hudud di Kelantan.
Beberapa kumpulan Islam termasuk mufti turut menggesa ahli Parlimen Islam menyokong RUU itu apabila tiba masa untuk mengundi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA