Isnin, 24 Oktober 2016

Ucapan Ku Li pada pelancaran buku ‘The End of Umno?’

Terima kasih tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Pertama sekali, izinkan saya mengucapkan terima kasih kepada Profesor Bridget Welsh, tuan rumah yang baik budi, serta Pusat Pembangunan Penyelidikan dan Maklumat Strategik [Strategic Information and Research Development Centre] kerana sudi mengundang saya untuk melancarkan buku mereka, The End of Umno? Essays on Malaysia’s Dominant Party.
Saya yakin ia perlu dibaca memandangkan penyumbang rencana yang terkandung di dalamnya merupakan empat tokoh akademik terkenal dengan analisis dan komentar sosio-politik. Saya pasti ia harus dibaca oleh sesiapa yang berminat terhadap hal ehwal politik semasa dan juga perkembangan Umno dari zaman Datuk Onn Jaafar hinggalah ke hari ini.
Acara pada pagi ini memberi peluang untuk saya menjawab soalan mengenai kedudukan saya sebagai ahli Umno. Saya ini sememangnya ahli politik Umno . Pengkritik akan mengalih perhatian umum ke arah Semangat 46.
Mereka akan sengaja lupa untuk memberitahu bahawa pengikut dan rakan saya dari Umno tidak keluar dari Umno.
Sebenarnya kami disekat daripada kembali bersatu dengan rakan-rakan lain selepas Umno didapati menyalahi undang-undang pada 1987. Di antara yang terbabit ialah pemimpin seperti
Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Hussein Onn.
Umno Baru ditubuh selepas Umno diisytihar menyalahi undangundang pada 1987. Tetapi Umno Baru bukannya Umno . Budayanya berbeza daripada semangat perjuangan Umno 1946.
Seperti kita sedia maklum, Mahkamah Tinggi telah mengisytihar Umno sebagai sebuah persatuan yang menyalahi undang-undang akibat 30 atau lebih bahagian parti yang tidak
berdaftar telah menghantar perwakilan ke Perhimpunan Agung Tahun 1987.
Mereka ini juga mengambil bahagian dalam pengundian untuk pemilihan ke Majlis Tertinggi Umno pada tahun tersebut. Dalam masa dua minggu selepas penghakiman itu dibuat, Umno Baru ditubuh.
Umno Baru bukannya Umno
Ini diikuti dengan pemindahan aset Umno 1946 kepada Umno Baru. Apabila ditinjau kembali insiden ini, penyelesaian yang lebih sesuai mungkin tercapai kiranya Mahkamah Tinggi
memerintah agar kedudukan bahagian terbabit diperbetulkan dan pemilihan baru diadakan.
Apabila diamati kembali, rasanya para pemimpin Umno pada waktu itu berperanan dalam menerima keputusan mahkamah tanpa membuat rayuan terhadapnya.
Tetapi barang diingat; Umno Baru bukannya Umno.
Maka itu Semangat 46 dipilih sebagai nama apabila saya tubuh sebuah parti politik baru atas gesaan Tunku untuk merapatkan saf apabila keadaan kembali seperti sedia kala.
Nama ini merangkumi semangat parti yang ditubuhkan oleh Datuk Onn pada 1946 dan ketabahan Tunku memimpin wakil parti Perikatan dan Raja-Raja di perundingan kemerdekaan.
Nama ini juga mencerminkan kesetiaan tidak berbelah bagi saya terhadap Umno semenjak saya mula menjadi ahli pada 1962 ketika berumur 25 tahun.
Sejak itu saya dipilih menjadi ketua bahagian, iaitu jawatan yang saya masih sandang sehingga hari ini.
Di samping itu, saya juga pernah menyandang jawatan bendahari dan salah satu daripada tiga naib presiden yang dipilih. Di bidang penggubalan undang-undang, saya pernah menjadi
Ahli Dewan Undangan Negeri di negeri saya.
Kini saya masih lagi bertugas sebagai Ahli Dewan Rakyat, jawatan yang saya masih sandang sejak pertama kali dipilih ke Parlimen pada 1974.
Selepas berkhidmat dengan penuh taat kepada Umno selama 54 tahun, saya rasa lebih baik saya teruskan sahaja amalan ini untuk berbakti kepada Malaysia.
Sebagai Ahli Parlimen, saya mewakili para pengundi dan saya telah bersumpah untuk mempertahankan kepentingan mereka melalui sumpah jawatan Ahli Parlimen.
Di samping itu, saya juga berkewajipan kepada negara untuk terus menatang keluhuran perlembagaan. Inilah maksud sebenarnya mengapa sumpah jawatan di Dewan Rakyat diwajibkan.
'Humpty Dumpty'
Nyatalah kewajipan utama saya ialah mendokong perlembagaan. Ia juga semestinya menjadi
kewajipan utama Umno . Sekiranya ia mahu kedudukannya terus relevan, Umno haruslah menerima kenyataan ini dan terus menjunjung keluhuran perlembagaan.
Maka itu, umpamanya, sesuatu dasar negara yang dicadang mestilah didebat dan keputusan dibuat di Dewan Rakyat dan tidak terlebih dahulu oleh majlis tertinggi parti tersebut.
Barang diingat bahawa kita dan negara tidak wujud tanpa perlembagaan. Begitu juga dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong yang termaktub di bawah Perkara 32; Ketua Negara Utama bagi Persekutuan, dan Isterinya.
Keluhuran perlembagaan dengan sendirinya menolak ke tepi konsep kesetiaan kepada wilayah sendiri mengatasi segalanya seperti yang dicanang akhir-akhir ini.
Nampaknya konsep kewilayahan ini semakin menular kerana kerajaan pusat semakin tidak dihormati kerana kedudukannya seolah-olah tidak sah lagi.
Pihak yang menonjol konsep ini tidak mengambil kira peranan perlembagaan yang menyatukan kita sebagai suatu negara. Kita tidak harus lupa akan kebenaran ini.
Sekiranya kita lupa, tidak mungkin Humpty Dumpty [dua watak nyanyian kanak-kanak Barat yang pecah berkecai apabila jatuh ke tanah dari tempat mereka bertenggek di atas pagar] dapat dicantum kembali.
Saya ingin menyingkap kembali kedudukan Majlis Raja-Raja. Walaupun terdapat peruntukan mengenainya di dalam perlembagaan, rakyat jelata cuma merasai kehadirannya dalam bentuk semangat. Ini disebabkan Majlis Raja-Raja tidak mempunyai badan berstruktur; umpamanya ia tidak mempunyai belanjawan sendiri dan terpaksa bergantung kepada kuasa lain untuk
kewujudannya.
Ia juga tidak mempunyai kerangka petadbiran sendiri yang menyeluruh. Ini menyedihkan. Sebenarnya Raja-Raja merupakan salah satu pihak terlibat secara langsung dalam rundingan kemerdekaan.
Merosakkan negara
Ini bermakna Raja-Raja juga terlibat dalam mewujudkan perlembagaan negara, yang pada
waktu itu ialah Persekutuan Tanah Melayu.
Majlis Raja-Raja seharusnya dapat bertindak sebagai kuasa perlembagaan berkumpulan selain daripada tiga cabang kerajaan yang sedia ada.
Keadaan sebegini pasti memberi faedah kepada rakyat dan negara. Majlis Raja-Raja boleh membantu sekiranya sistem pemerintahan terbantut dan ketiga-tiga cabang kerajaan tidak berfungsi sebagai dijangka.
Barang diingat semuanya ini, kiranya berlaku, ialah untuk kebaikan rakyat. Sesungguhnya ini
dapat dilakukan kerana dari segi sejarah, institusi Raja-Raja merupakan salah satu sumber pengwujudan perlembagaan.
Maka itu tepat sekali sekiranya negara merujuk kembali kepada Majlis Raja-Raja jikalau perlembagaan diketepikan, sama ada secara sengaja atau tidak.
Sememangnya tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa keluhuran perlembagaan dan demokrasi berperlembagan telah diperlekeh apabila konsep penswastaan diberi keutamaan dan Malaysia Inc dilancar.
Langkah ini telah merosakkan negara dan akibatnya terasa hinggalah ke hari ini.
Kuasa korporat yang diswastakan itu menjadi faktor utama dalam usaha memacu negara ke hadapan. Ini seolah-olah mempersenda akan kekudusan dan keluhuran perlembagaan.

Kita harus ingat bahawa negara kita bukannya sebuah perbadanan. Kita tidak boleh samakan negara dengan badan korporat.
Sekiranya kedua-duanya dicantum, tidak mustahil bagi kuasa korporat mengatasi perlembagaan dan rakyat. Masalah serta kontroversi yang menghantui 1MDB adalah kesan percantuman ini.
Konsep Malaysia Inc menyentuh kehidupan rakyat jelata secara negatif pada peringkat paling asas. Kemampuan rakyat mendapat keperluan asas semakin terjejas. Keadaan ini meluaskan lagi jurang ketidakimbangan lapisan sosial.
Kekurangan doktor
Soal peningkatan pendapatan tidak diberi perhatian. Begitu juga dengan isu pendapatan minimum. Akibatnya, antara lain, orang ramai tidak dapat mengecapi kemudahan kesihatan baik dengan kos berpatutan.
Tempat di hospital awam pula sentiasa tidak mencukupi di samping kekurangan doktor dan kakitangan sokongan. Ubat-ubatan semakin mahal.
Di bidang pendidikan pula, rakyat tidak mendapat pendidikan bermutu kerana mutu pendidikan awam semakin menjunam.
Negara terlalu bergantung kepada pendidikan swasta yang tidak termampu oleh rakyat biasa. Inilah di antara bahana perlaksanaan Malaysia Inc.
Tuan-tuan dan puan-puan sekelian, izinkan saya mengalih perhatian kita kepada tajuk buku yang akan dilancarkan. Sama ada jawapan kepada tajuknya yang berbentuk soalan ini ia atau tidak bergantung kepada sama ada kepimpinan parti tersebut berprinsip, beretika, jujur dan beramanah, dan berintegriti atau tidak.
Sayugia diingat bahawa adalah menjadi suatu kelaziman bagi sesebuah parti politik untuk mengamali keunggulan yang baru disebut. Dengan itu, sesebuah parti politik akan lebih diminati ramai, diterima baik oleh rakyat.
Ini membolehnya memenangi kuasa politik. Begitulah seharusnya kerana tujuan berpolitik ialah untuk berkuasa dan terus berkuasa selama mungkin.
Sayangnya, kadangkala terdapat parti politik yang terlupa akan matlamat perjuangannya kerana berkuasa terus menerus. Ini boleh meyebabkan parti tersebut menyalah guna kuasa yang diamanahkan oleh pengundi.
Kelalaian ini boleh menyebabkan parti politik mengalami apa yang saya sifatkan sebagai keangkuhan memegang kuasa politik berpanjangan. Kealpaan ini boleh mencetuskan penyinkirannya daripada tampuk kuasa.
Ikan mulai busuk dari kepala
Di dunia sebelah sini, terdapat dua parti politik yang menerajui kerajaan masing-masing
mengalami kekalahan begini. Pun begitu, mereka mengambil iktibar daripada pengelaman tersebut dan kemudiannya kembali berkuasa.
Umno seharusnya prihatin terhadap apa yang berlaku kepada LDP di Jepun dan Parti Congress di India demi mengelakkan apa yang berlaku terhadap kedua-dua gergasi politik Asia ini.
Untuk itu, Umno hendaklah sentiasa relevan. Umno hendaklah bertindak seperti negara yang mengamali demokrasi dengan cara sebenarnya.
Perjuangan Umno mestilah telus, mengikut undang-undang dan lunas-lunas sah. Ketepikan politik kotor dan hindarilah amalan politik tipu helah.
Pada hemat saya, sebagai proses pemerintahan, politik tidak kotor ataupun bersih. Tetapi pengamalnya lain sedikit, kerana terdapat berbagai jenis di kalangan mereka.
Seperti juga kumpulan lain, ada pengamal politik yang korup dan tidak beretika. Sekiranya kita hendak menuding jari ke arah yang kotor, maka kita hendaklah tujukannya kepada pengamal politik dan tidak sebaliknya.
Ini tidak bermakna bahawa tidak terdapat pemimpin dan pengamal politik bersih yang amanah lagi jujur.
Ahli sesebuah parti hendaklah berhati-hati terhadap pemimpin politik mereka. Dalam hal ini, saya ingin menarik perhatian mereka kepada pepatah yang menyatakan bahawa ikan mulai busuk dari kepala dalam memperihalkan pemimpin dan kepimpinan.
Lazimnya keadaan beginilah mencetus akan amalan pilih kasih yang melibatkan saudara mara dan konco-konco, ataupun apa yang sering disebut sebagai amalan nepotisma dan kronisma.
Keadaan begini akhirnya akan menjunamann pengamalnya ke curang rasuah. Jika tidak
diatasi ia boleh merebak menjadi cara pengendalian sesebuah parti politik.
Inilah – iaitu cara kita melakukan sesuatu – takrif budaya. Lambat laun budaya rasuah politik ini akan ditiru menjadi budaya masyarakat am.
Kita seharusnya menghindari perkara ini. Maka itu para ahli hendaklah memulakan langkah pembersihan parti. Sejarah kita telah menunjukkan bahawa kekuatan kuasa terpendam ahli pernah menyemarakkan semangat para pemimpin sewaktu untuk menentang Malayan Union.
Kekuatan inilah kemudiannya dijana untuk menyatukan tiga parti politik berasaskan keturunan dan Raja-Raja Melayu, melalui wakil-wakil baginda, demi mendapatkan kata sepakat ketika berlangsungnya Rundingan Kemerdekaan 1956 di London.
Penggal kepala ikan busuk
Kini tibalah masanya para ahli membuat keputusan mendorong pemimpin-pemimpin parti menggerakkan negara ke arah yang diimpikan oleh bapa kemerdekaan kita.
Pencetusan oleh para ahli ini penting kerana masa depan Umno bergantung pada para mereka. Mereka perlu mengawal dan mendisiplin para pemimpin.
Sekiranya perlu, mereka hendaklah hentikan perlakuan pemimpin yang tidak disenangi rakyat. Barang diingat, rakyatlah yang mempunyai kata pemutus ketika mereka mengundi di pilihan raya umum.
Apa pun, kita haruslah menerima kenyataan bahawa Umno telah banyak berbakti kepada kerajaan dan proses pemerintahan. Begitu juga di bidang pembangunan ekonomi dan sosial., di samping meneggakkan keharmonian dan kestabilan.
Sebagai sebuah parti, Umno menjunjung keunggulan demokrasi, keadilan dan kesaksamaan. Sekiranya kenyataan ini tidak lagi benar, maka para ahli hendaklah selidiki sebab musababnya.
Untuk itu mereka perlu mula dari atas dan selidiki para pemimpin. Seperti yang telah diperkatakan, ikan membusuk dari kepalanya. Begitu pun, keadaan ini masih boleh diselamat kerana sekurang-kurangnya kita boleh memenggal kepala ikan yang sudah busuk.
Tuan-tuan dan puan-puan sekelian, saya ingin menyingkap kembali bahagian pertama tajuk buku yang akan dilancarkan; iaitu The End of Umno?
Di dalam sesebuah demokrasi, kegiatan berpolitik memerlukan dua pihak berinteraksi antara satu sama lain. Berkaitan dengan tajuk ini, jika pihak Pembangkang terus bercakaran sesama sendiri, ia akan binasa dari dalam.
Soalnya, bagaimana pula dengan Umno  Ada yang berpendapat bahawa Umno telah menghampakan rakyat dan tidak lagi bertindak untuk kepentingan negara.
Kini ada yang menuduh ia melindungi kepentingan para pemimpin parti.
Pada suatu ketika ia merupakan kuasa politik handalan yang bertindak sebagai pusat kepada masyarakat majmuk kita dan membendungnya menjadi unit padu. Kini Umno tidak lagi bertindak demikian.
Inilah sebenarnya intipati krisis yang kita hadapi sekarang. Sekarang ini kita berada di dalam keadaan genting. Ini kerana kita ketiadaan budaya Malaysia dalam erti kata sebenarnya untuk menjadi kuasa penyatuan negara.
Umno bukan lagi pusat penyatuan
Umno pula tidak lagi dirasai bertindak sebagai pusat penyatuan seperti yang pernah dilakukannya dahulu.
Keadaan ini menjadi bertambah rumit disebabkan tanggapan umum terhadap dua cabang kerajaan yang dikatakan menjadi semakin lemah. Badan Kehakiman menjadi lemah kerana urusannya dicampur tangan oleh Badan Eksekutif. Badan Perundangan pula, iaitu Parlimen, tidak berfungsi seperti parlimen sesebuah negara demokrasi berperlembagaan.
Kini Umno , bersama-sama rakan-rakan politiknya, haruslah menerima pakai strategi tertentu untuk terus relevan. Antara lain strategi tersebut termasuklah:
  • Menyokong demokrasi berpelembagaan dan pemisahan kuasa sebagai prinsip asas;
  • Kesamarataan kerakyatan seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai salah satu matlamat perjuangannya;
  • Dasar ekonomi dan politik yang tidak membeza-bezakan warganegara;
  • Akur kepada matlamat perkhidmatan awam dan tidak melibat diri dalam perniagaan, dan memastikan pengasingan perniagaan daripada politik;
  • Mempertahan dan menghormati kebebasan Badan Kehakiman dan proses penghakiman;
  • Mematuhi kepada ukuran perlakuan tertinggi terhadap sistem pemilihan parti dan memastikan ia bebas daripada amalan rasuah;
  • Memastikan dialog dan kenyataan politik tidak mencetus sengketa perkauman atau agama;
  • Tidak mengguna hasutan berkaitan kaum dan berbau perkauman bagi matlamat politik;
  • Mengenepi dan membenteras sekatan dalam parti yang menghalang perpaduan nasional dan perkembangan identiti Malaysia; dan
  • Menjunjung Perlembagaan Persekutian dan Negeri termasuklah maksud serta semangat di sebalik penegakan demokrasi, kedaulatan undang-undang, kebebasan asasi seperti termaktub di Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dan Pemasyhuran Hak Asasi Manusia Sejagat.
Saya amat berterima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan sekelian kerana sudi mengamati ucapan yang tidak sepertinya ini. Kepada Profesor Welsh, terimalah tahniah dari hati kecil saya.
Dengan ini, saya dengan sukacitanya memperkenal dan melancarkan buku The End of Umno? Essays on Malaysia’s Dominant Party. Terima kasih dan salam bahagia.

TENGKU RAZALEIGH HAMZAH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA