Selasa, 25 Oktober 2016

Transparency Malaysia: Ekonomi lembap, orang cenderung rasuah

Akhbar berkata, tindakan kerajaan memotong peruntukan SPRM tidak bijak, sebaliknya ia perlu mengukuhkan suruhanjaya itu dengan memberi lebih banyak sumber melalui Bajet 2017.
akhbar-satar-macc-sprm-1
PETALING JAYA: Transparency International Malaysia (TI-M) menyifatkan keputusan kerajaan mengurangkan peruntukan tahunan bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai tidak bijak kerana rasuah akan berkembang ketika kelembapan ekonomi.
Presiden TI-M, Datuk Akhbar Sattar berkata, kerajaan sepatutnya mengukuhkan SPRM dengan memberi lebih banyak sumber melalui Bajet 2017.
“Apabila kegawatan ekonomi berlaku, ramai orang cenderung terlibat dalam rasuah,” katanya kepada FMT sambil memetik kajian Perkhidmatan Pertikaian dan Siasatan Penipuan Ernst & Young di Asia Pasifik pada 2013.
Dalam kajian itu, kira-kira 54% responden setuju syarikat Malaysia mengambil “jalan pintas” untuk mencapai sasaran ketika kelembapan ekonomi dan ia meningkat sekali ganda daripada purata 27% di rantau ini.
Jumaat lalu, ketika membentangkan Bajet 2017, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan RM216 juta untuk SPRM berbanding RM251 juta yang diberikan tahun lalu dan RM294 juta pada 2015.

“Paling penting ialah SPRM memerlukan sebanyak mungkin sumber yang boleh untuk memerangi rasuah pada masa sukar, bukannya belanjawan dikurangkan.”
Akhbar berkata, adalah penting terutamanya ketika kelembapan ekonomi untuk memastikan kontrak kerajaan diberikan kepada kontrator berwibawa dan ini sebabnya langkah serta prosedur sangat penting dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti.
Semalam, penganalisis politik, Dr Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, pengurangan bajet untuk SPRM akan memberi gambaran kerajaan tidak serius dalam usaha memerangi rasuah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA