Selasa, 25 Oktober 2016

Tony Pua kecam Najib rahsiakan pengurus dana RM940 juta milik 1MDB

Keengganan Najib mendedahkan nama pengurus dana adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab kerana berterusan merahsiakan perkara itu, kata ahli Parlimen DAP.
tony-pua8
KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak dikecam kerana tidak menamakan penggurus dana bernilai RM940 juta milik subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Brazen Sky.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata kenyataan Najib itu tidak bertanggungjawab kerana berterusan merahsiakan perkara berkenaan daripada Dewan Rakyat.
“Kenapa menteri tidak sebut siapakah pengurus dana dan custodian bank yang baru? Apakah kerahsiaan yang diperlukan sehingga nama tidak boleh dimaklumkan kepada Dewan Rakyat?” soalnya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Semalam, menteri kewangan dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat melaporkan sejumlah dana bernilai RM940 juta milik subsidiari 1MDB, Brazen Sky diletakkan di bawah pengurus dana.
Lembaga pengarah Brazen Sky melaporkan tiada perubahan pada status nilai pelaburan.
Kata Tony, Najib juga sebelum ini enggan mendedahkan siapakah pengurus dana pelaburan 1MDB di Cayman Islands walaupun menegaskan ia dilaburkan dalam syarikat kewangan berlesen.
“Kini kita faham kenapa menteri enggan menamakan syarikat itu. Ini kerana, ketua audit negara mendapati sewaktu syarikat pengurus dana 1MDB membuat pelaburan, didapati syarikat itu tidak mempunyai lesen.
“Adakah keengganan menteri kewangan untuk menamakan pengurus dana ini kerana ia juga tidak berlesen seperti syarikat di Cayman Islands dulu?
“Adakah menteri kewangan takut kalau dinamakan, custodian bank yang baru ini juga akan dibatalkan lesen perbankan seperti yang terjadi kepada BSI Bank di Singapura?” katanya.
Jelas Tony, tidak wajar bagi Najib selaku menteri kewangan membela dirinya dengan berterusan bersikap dalam penafian.

“Kekurangan keterbukaan dalam jawapan menteri kewangan menunjukkan adanya udang di sebalik batu yang disembunyikan daripada rakyat Malaysia,” katanya.
Pada Mei dilaporkan Singapura menggantung operasi BSI di negara itu selepas prosiding jenayah terhadap bank itu berhubung dengan 1MDB bermula.
Pihak Berkuasa Kewangan Singapura menarik balik lesen BSI kerana pelanggaran peraturan pengubahan wang haram dan dikenakan S$13.3 juta penalti kewangan bagi 41 pelanggaran, termasuk kegagalan menjalankan usaha wajar ke atas akaun yang berisiko tinggi dan memantau urus niaga pelanggan mencurigakan.
Singapura juga merujuk 6 eksekutif kanan BSI kepada pendakwa raya, termasuk bekas ketua pegawai eksekutif dan timbalannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA