Selasa, 25 Oktober 2016

Tindakan kerajaan BN senarai hitam satu ugutan

KUALA LUMPUR - Tindakan kerajaan ingin menyenaraihitamkan mana-mana syarikat yang menyokong perhimpunan haram dianggap sebagai satu ugutan kepada rakyat negara ini.
Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, kerajaan sepatutnya memahami dan menyelesaikan masalah yang berlaku dan bukannya mengeruhkan lagi keadaan sedia ada.
Abdullah Sani Abdul Hamid "Sebagai contoh Bersih 5 nanti, ia dianjurkan kerana ketidakpuasan hati para pengundi disebabkan oleh ketidakadilan dalam proses pemilihan,"katanya kepada Sinar Harian di lobi Parlimen.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan memaklumkan bahawa mana-mana syarikat yang menyokong perhimpunan haram bagi menggulingkan kerajaan akan disenaraihitamkan serta-merta daripada mendapat kontrak kerajaan.
Sehubungan itu, Abdullah Sani memaklumkan bahawa kerajaan sepatutnya memperbetulkan keadaan dan bukannya menjatuhkan hukuman kepada pihak yang menginginkan keadilan.
"Kita bukan nak tumbangkan kerajaan dengan cara tak berhemah. Dengan ugutan sebegini, ia akan mengundang padah kepada kerajaan kerana jangan lupa, PRU14 ialah kuasa rakyat," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA