Jumaat, 21 Oktober 2016

Tidak perlu dibangga jika masih ramai perlukan bantuan, kata Ideas

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan RM6.8 bilion diperuntukkan untuk BR1M 2017, meningkat RM900 juta daripada RM5.9 bilion.
IDEASPETALING JAYA: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) menyoal mengapa kerajaan berbangga apabila masih ramai rakyat memerlukan bantuan kebajikan.
Dalam satu kenyataan yang menyusuli pembentangan belanjawan negara petang tadi, Ideas menegaskan keberkesanan sesuatu belanjawan diukur pada jumlah rakyat yang mampu berdikari melalui dasar dan program yang dilaksanakan.
“Kami hairan kerajaan nampaknya berbangga semakin ramai rakyat bergantung dan memerlukan bantuan kebajikan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Ideas Wan Saiful Wan Jan.
“Kejayaan tidak boleh diukur pada lebih ramai orang menyertai program kebajikan, sebaliknya pada pengurangan jumlah penerima setiap tahun sehingga kita tidak lagi memerlukan program itu.
“Kita sepatutnya bimbang dengan adanya keperluan untuk menaikkan peruntukan program kebajikan setiap tahun. Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berisiko menjadi hak milik yang berkekalan.”
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan RM6.8 bilion diperuntukkan untuk BR1M 2017, meningkat RM900 juta daripada RM5.9 bilion.
Jumlah penerima bagi belanjawan kali ini dianggarkan 7 juta penerima, berbanding 4.2 juta isi rumah dan 3.1 juta individu bujang setakat September 2016, dengan sejumlah RM5.4 bilion sudah diagihkan.

Pemberian BR1M bagi isi rumah berpendatapan RM3,000 ke bawah ditingkatkan daripada RM1,000 kepada RM1,200, isi rumah berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 meningkat daripada RM800 kepada RM900, individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas dengan pendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan meningkat daripada RM400 kepada RM450.
Menurut Laporan Ekonomi 2016/17 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, pada 2014, bahagian isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 berkurangan hampir separuh kepada 24.3% (2009: 52.7%), manakala isi rumah berpendapatan antara RM3,000 dan RM5,000 meningkat ketara kepada 30.6% (2009: 23.1%).
Berikutan pendapatan isi rumah yang semakin meningkat, kadar kemiskinan mengecil kepada 0.6 pada 2014, manakala Pekali Gini bertambah baik dalam tempoh sama, menyaksikan pengurangan jurang ketidaksamaan pendapatan kepada 0.401 daripada 0.441, pada 2009.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA