Isnin, 24 Oktober 2016

Tiada layanan istimewa bagi kumpulan pro-Umno, Nur Jazlan beri jaminan

Timbalan menteri dalam negeri berkata, dakwaan yang pihak polis tidak bertindak terhadap kumpulan pro-Umno tidak berasas.
Gerakan-Merah
KUALA LUMPUR: Putrajaya hari ini menegaskan kumpulan pro-Umno – Gerakan Merah dan pergerakan Baju Merah – tiada layanan istimewa diberikan jika pihak polis mendapati terdapat kes terhadap mereka.
Sambil menegaskan tiada situasi pilih kasih berlaku, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Kementerian Dalam Negeri dan polis mengambil serius sebarang perbuatan jenayah oleh mana-mana pihak yang mengancam keamanan dan keharmonian awam.
“Siasatan akan dijalankan secara telus dan adil, tanpa mengira kedudukan atau status suspek.
“Dakwaan polis tidak bertindak ke atas isu-isu tertentu adalah tidak berasas, dan sengaja disensasikan pihak tertentu bagi kepentingan peribadi mereka,” kata Nur Jazlan di Parlimen, ketika menjawab soalan Ng Wei Aik (DAP-Tanjong) mengenai “kurangnya tindakan” kerajaan terhadap kedua-dua kumpulan pro-Umno itu.
Nur Jazlan berkata, polis sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung Ali Tinju, pemimpin Gerakan Merah kepada timbalan pendakwa raya tetapi ia dipulangkan kembali untuk “siasatan lanjut”.

Ali, atau nama sebenarnya Mohd Ali Baharom, memberi amaran kepada Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah agar “berwaspada” atau beliau mungkin tidak lagi “berjalan di atas muka bumi ini” selepas mengumumkan perhimpunan Bersih 5 akan diadakan pada 19 November.
Nur Jazlan menjelaskan kepantasan siasatan bergantung kepada kerumitan kes, dan masa yang diperlukan untuk membuktikan suspek itu bersalah melampaui keraguan munasabah.
Beliau memberi contoh tangkapan pemimpin Umno Sungai Besar, Jamal Yunos baru-baru ini, yang mengetuai pergerakan Baju Merah, sebagai bukti tindakan segera pihak polis.
“Kami turut menahan Azli Jaafar, yang mengendalikan akaun Facebook Jamal. Kedua-dua mereka ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur minggu lepas,” katanya.
Jamal ditahan reman selama 2 hari dan dibebaskan berhubung status Facebook yang menggunakan namanya, mengancam berulangnya rusuhan kaum 13 Mei 1969 sekiranya perhimpunan Bersih 5 diteruskan.
Bagaimanapun, Jamal menafikan beliau memuatnaik status itu.
Nur Jazlan berkata, sejak September, sejumlah 175 laporan polis dibuat terhadap perhimpunan Bersih 5 dan pergerakan Baju Merah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA