Khamis, 20 Oktober 2016

Teraju FAM: ‘Najib atau tak, 3 tahun gagal mesti undur’

Sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diangkat menjadi presiden FAM atau pun bukan, yang penting beliau perlu buktikan kemampuan dalam tempoh tiga tahu, kata penganalisis sukan Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.
Khoo berpendapat, soal siapa yang dipilih menjadi teraju badan induk bola sepak negara tidak sepenting peranan untuk kemajuan sukan nombor satu negara.
“Saya rasa yang paling penting tak kira siapa dipilih, tapi orang itu perlu diberi paling lama tempoh tiga tahun.
“Dalam tiga tahun itu kalau tidak ada kemajuan dia mesti berundur.
“Kalau duduk di situ sampai 10 tahun bola sepak negara semakin merosot pun tidak guna,” katanya kepada Malaysiakini, semalam.
Portal ini kelmarin melaporkan bekas naib presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar mencadangkan Najib diangkat sebagai presiden FAM.
Pada pandangan Raja Ahmad Zainuddin tokoh yang sesuai menduduki kerusi panas itu perlulah berpengaruh.
Malah katanya perdana menteri terdahulu pernah melakukannya. Selain Tunku Abdul Rahman, bapa Najib, Tun Abdul Razak juga pernah dilantik sebagai presiden FAM.
Sementara itu, Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia, B Sathianathan berpendapat, jawatan presiden FAM mestilah diisi individu yang boleh memberi sepenuh perhatian terhadap kerja-kerja pembangunan bola sepak.
Justeru bekas pengendali skuad kebangsaan itu menolak cadangan supaya jawatan nombor satu FAM itu diisi Najib.
Namun, Khoo menegaskan sesiapa saja mahu menjadi presiden FAM perlu berdepan dengan hakikat seperti yang dinyatakannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA